Berita UtamaUtama

Kadar levi lanjutan pekerja asing turun mulai 1 Mac

Bayaran levi untuk pembantu rumah kekal tanpa perubahan

KUALA LUMPUR, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Kerajaan bersetuju menurukan kadar levi lanjutan asing bagi lima sektor buat sementara waktu untuk tempoh setahun berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penurunan kadar levi antara RM1,500 hingga RM4,000 itu melibatkan sektor pembuatan, perkhidmatan (bagi restoran dan pembersihan), pembinaan, pertanian dan perladangan dan langkah itu sebagai usaha meringankan beban majikan.

Mengumumkan penurunan kadar levi itu dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu lalu, bersetuju melaksanakan langkah itu sebagai satu lagi pilihan dan kelonggaran kepada industri.

Kadar baharu mulai 1 Mac 2019 sehingga 29 Feb 2020 bagi sektor pembuatan ialah RM6,000, perkhidmatan bagi restoran dan pembersihan (RM6,000), pembinaan (RM6,000), pertanian (RM2,000) dan perladangan (RM2,000).

Untuk pembantu rumah, levi sedia ada yang sama seperti sebelum ini dikekalkan tanpa perubahan, katanya.

“Kerajaan Persekutuan prihatin dengan cabaran-cabaran yang dihadapi peniaga dan perusahaan dalam keadaan global yang tidak menentu.

“Oleh itu Belanjawan 2019 telah mengesyorkan agar majikan boleh melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja asing mereka yang melebihi 10 tahun, untuk tempoh tambahan tiga tahun dengan menanggung pembayaran kadar levi bagi pekerja asing yang ingin dilanjutkan,” katanya.

Kadar levi lanjutan bagi pekerja asing seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 sebelum ini adalah sektor pembuatan (RM10,000), perkhidmatan iaitu bagi restoran dan pembersihan (RM10,000), pembinaan (RM10,000), pertanian (RM3,500) dan perladangan (RM3,500). – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close