Berita UtamaUtama

Budak 2 tahun tak ambil imunisasi maut dijangkiti difteria

Ujian sampel calitan tekak ada bakteria Corynebacterium diphtheriae

BANGI, 18 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Seorang kanak-kanak lelaki di Johor Bahru disahkan meninggal dunia pada 21 Februari lalu, kerana disyaki dijangkiti difteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak berusia dua tahun satu bulan itu tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit mula mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari 2019, sebelum dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu.n

“Malangnya kanak-kanak berkenaan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada 21 Februari dengan sebab kematian Severe Diphtheria with multiorgan failure.

“Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria Corynebacterium diphtheriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan difteria, termasuk pencarian kes secara aktif di kawasan kediaman, aktiviti pemberian imunisasi dan pendidikan kesihatan.

Katanya, setakat tahun ini, terdapat satu kes difteria yang disahkan di Malaysia, berbanding 18 kes pada tahun lalu, di mana lima kematian dilaporkan.

“Empat daripada lima kematian ini tiada menerima imunisasi. Kesemua kematian difteria bagi tahun 2018 membabitkan kanak-kanak di bawah 10 tahun.

“Sehubungan dengan itu, KKM ingin menasihati orang awam terutamanya ibu-bapa agar sentiasa berwaspada terhadap penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui imunisasi seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa yang masih belum memberikan imunisasi kepada anak-anak mereka supaya tampil untuk berbuat demikian mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM.

“Imunisasi adalah cara pencegahan penyakit yang berkesan dan selamat. Perkhidmatan imunisasi ini boleh diperolehi daripada klinik kesihatan kerajaan dan swasta.

“Bagi kanak-kanak yang telah tercicir suntikan, bolehlah segera mendapatkan perkhidmatan imunisasi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close