Berita Utama

Mesej jual organ, perogol bersiri tak benar: Polis

Mesej palsu diulang siar sejak 2014 untuk takutkan orang ramai

KUALA LUMPUR, 17 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mesej yang tular di platform WhatsApp mendakwa seorang lelaki dikehendaki polis, kerana aktif dalam kegiatan penjualan organ manusia, serta perogol bersiri di negara ini dan sempadan Thailand.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang maklumat sahih atau laporan polis yang dibuat, berkaitan kejadian penculikan untuk tujuan penjualan organ di negara ini. 

“PDRM telah mengesan mesej tular di platform WhatsApp yang dibuat atas nama ACP Datin Asmawati Ahmad, Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) mendakwa kononnya seorang lelaki, Mohd Faris Farhan Akhlaken Ahmad dikehendaki polis, kerana aktif dalam kegiatan penjualan organ manusia serta perogol bersiri di negara ini dan sempadan Thailand. 

“PDRM ingin mengesahkan bahawa mesej yang tular itu adalah tidak benar, dan ia merupakan mesej palsu yang diulang siar beberapa kali sejak tahun 2014 bagi tujuan membangkitkan kegusaran dan ketakutan tanpa asas, dalam kalangan orang ramai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

PDRM juga ingin memaklumkan bahawa sebarang kenyataan rasmi daripada pejabat itu akan hanya dibuat melalui saluran serta format rasmi dan bukannya melalui platform WhatsApp, katanya. 

Asmawati turut menasihati masyarakat untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita sensasi yang tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Tindakan berkongsi atau menyebar berita-berita sedemikian akan hanya menimbulkan keresahan dan kebimbangan masyarakat,” katanya.

Sila hubungi  pihak berwajib untuk mendapatkan kepastikan dan elakkan diri daripada menjadi sebahagian kepada punca tularnya berita-berita palsu. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close