Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Land swap: Kenapa Najib Razak bersyukur kenyataan Mat Sabu?

Mari kita lihat siapa yang kenaaaa...

SEMALAM, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu @ Mat Sabu dalam satu kenyataan media, mendedahkan sedikit hasil siasatan jawatankuasa khas dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang terhadap beberapa projek Kementerian Pertahanan, termasuk ‘land swap’.

Jawatankuasa itu dikenali sebagai Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

Pedang mengalu-alukan pembongkaran sebarang salah laku dalam kerajaan yang menyebabkan kerugian kepada rakyat. Tak kiralah kerajaan dulu atau kerajaan sekarang. Apalagi, jika ia membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Pedang juga setuju dengan pendedahan Mat Sabu atau di kalangan anak muda beliau lebih mesra dengan panggilan ‘Abang Mat’. Lagipun, rumah Abang Mat di Seksyen 19 Shah Alam tak jauh dari rumah Pedang.

Cuma kenyataan media Mat Sabu semalam – yang menjurus untuk menunjukkan kelemahan pentadbiran kerajaan sebelum ini – bagaimanapun tidak menyebut tahun bila projek ‘land swap’ bermula. Tetapi mengikut laporan media, projek ‘tukar tanah’ Kementerian Pertahanan itu berlaku sejak 1997.

Menurut kenyataan Menteri Pertahanan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu, hasil siasatan yang dibentangkan pada 28 Januari lalu mendapati, 16 projek ‘land swap’ membabitkan 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai sebanyak RM4.756 bilion dan membabitkan kos projek RM4.886 bilion.

“JKTUPKK juga mendapati anggaran kerugian atau ketirisan hasil Kerajaan sepanjang pelaksanaan projek land swap adalah melebihi RM500 juta.” (Dalam kenyataan itu baris bermula dengan …kerugian hingga RM500 juta… ditebalkan)

Kata Mat Sabu lagi, kementerian dimaklumkan bahawa majoriti pelaksanaan projek ‘land swap’ sebelum ini adalah tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan due diligence yang komprehensif.

“Terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi land swap tersebut yang bertujuan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Keadaan tersebut telah menyebabkan sebahagian projek telah melangkaui tempoh kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi-agensi berkaitan yang lain untuk menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang,” kata Mat Sabu.

Tetapi apakah pendedahan yang dibuat oleh Mat Sabu – yang dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Menteri Pertahanan kerajaan Malaysia baharu – bertujuan menunjukkan salah laku kerajaan yang mentadbir Malaysia sebelum ini memandangkan projek ‘land swap’ itu bermula pada 1997?

Siapa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan pada 1997?

“Saya bukan Menteri Pertahanan mahupun Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri ataupun Menteri Kewangan pada tahun 1997.” Demikian dijelaskan Datuk Seri Najib Razak, ketika mengulas pendedahan laporan siasatan projek ‘land swap’ itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri pada 1997 adalah Dr Mahathir, sementara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib dilantik menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Dr Mahathir pada 1991 hingga 1995. Menteri Pertahanan pada 1997 ialah Tan Sri Syed Hamid Albar (1995-1999), namun Najib sekali lagi memegang jawatan itu mulai 1999 hingga 2008. Beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2009, ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 3 April 2009, Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-6 sehinggalah Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei tahun lalu.

“Alhamdulillah. Laporan yang mengambil masa 8 bulan ini juga telah membuktikan bahawa Tan Sri Rafidah Aziz Malaysian Citizen telah memfitnah saya.

“Beliau (Rafidah) pernah bertegas dengan sumpah “Demi Allah” bahawa ‘setiap inci tanah’ berjumlah 40,000 hektar Kementerian Pertahanan dan tentera telah diswastakan kepada tiga individu” di bawah kerajaan BN semasa saya PM.

“Fitnah ini yang digunakan untuk menaikkan kemarahan undi tentera sebelum PRU14 adalah sangat keji kerana nama Allah telah digunakan untuk melemparkan tuduhan ini,” kata Najib ketika mengulas lanjut pendedahan Mat Sabu, dalam laman Facebook beliau.

Isu ‘land swap’ membabitkan tanah Kementerian Pertahanan timbul selepas Rafidah mendakwa pemilikan lebih 40,000 hektar tanah kementerian itu dipindahkan kepada sebuah syarikat milik tiga individu tanpa tender terbuka. Dakwaan itu dibuat menerusi satu surat terbuka yang ditujukan kepada Najib, 8 April tahun lalu – sebulan sebelum PRU14.

Beliau mendakwa semua tanah berkenaan dipajakkan selama 40 tahun kepada syarikat berkenaan untuk dibangunkan dengan pelbagai projek komersial. Antara hartanah yang disebut oleh Rafidah dalam surat terbuka itu adalah Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan Kem Majidee di Johor Bahru.

Najib sudah dikira menjawab pendedahan Mat Sabu mengenai projek ‘land swap’. Sekarang, yang kena jawab ialah Dr Mahathir, Anwar, Syed Hamid, Abdullah dan Rafidah, kerana projek itu bermula pada 1997.

Sebenarnya, Pedang lihat ada mainan politik di belakang kenyataan media Mat Sabu mengenai projek ‘land swap’ ini. Fikirkan ‘gelombang’ yang sedang berlaku sekarang dalam PH.

Kata Pedang: Khabarnya ‘perbalahan’ team-team dalam parti gabungan PH semakin hebat. Apakah pakatan ini akan menjadi kerajaan gabungan paling singkat dalam sejarah?

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close