Berita UtamaUtama

Kes cekek leher: Pemuda UMNO gesa Syed Saddiq disiasat

Polis sahkan kes menteri dengan Exco Pemuda hanya salah faham

BANGI, 15 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak berkuasa menyiasat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, susulan laporan polis yang mengatakan beliau dicekek leher oleh Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana polis telah mengesahkan bahawa kejadian itu hanya salah faham dan bukannya serangan seperti didakwa Syed Saddiq dalam laporan polisnya.

“Ternyata sandiwara Syed Saddiq tidak menjadi kerana banyak rakaman video dan laporan polis balas oleh beberapa saksi yang menafikan berlaku serangan ‘cekek leher’ sebagaimana yang didakwa dalam laporan polis palsu Syed Saddiq.

“Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar YB Syed Saddiq juga harus disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM2,000 atau/dan penjara 6 bulan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan awal polis mendapati Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo tidak melakukan kesalahan serius terhadap Syed Saddiq.

Sehubungan itu, Wan Muhammad Azri yang sebelum ini direman tiga hari bagi membantu siasatan, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Saya lihat dakwaan ini, saya dapati tidak begitu serius sehingga berlaku pergaduhan, berlaku silap faham… berlaku sikit tarik-menarik. Dia (Papagomo) boleh dijamin dan kes ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” kata Noor Rashid.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, beliau kagum dengan semangat juang yang kental Wan Muhammad Azri walaupun dianiaya Syed Saddiq hingga terpaksa merengkok dalam lokap polis di Kajang selama tiga malam.

“Ketika menelefon saya sejurus keluar lokap petang tadi Papagomo berkata pada saya, “Boss, walaupun dalam lokap saya jaga solat 5 waktu sebagaimana nasihat Boss untuk menjadi pejuang Agama sejati”. Syukur, Alhamdulillah. Moga hidayah dan rahmat sentiasa melindungimu Wan Azri,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close