Berita UtamaUtama

20 warga Palestin cedera ditembak rejim Zionis

Penduduk lempar batu sebagai tindak balas kekejaman Israel

SEMENANJUNG GAZA, 15 Jamadilakhir 1440H, Rabu – 20 penduduk Palestin cedera dalam serangan yang dilakukan rejim pengganas Israel ketika protes mingguan diadakan secara aman berhampiran pagar sempadan Gaza-Israel, semalam.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra mengesahkan puluhan cedera kerana ditembak Zionis, dan ramai yang sesak nafas selepas rejim melepaskan gas pemedih mata.

Sebagai tindak balas, penduduk Palestin dilaporkan mengibarkan bendera sambil melempar batu ke arah tentera rejim Israel.

Semalam, ratusan penduduk berkumpul di utara Semenanjung Gaza, sebagai sebahagian daripada protes anti-Israel agar rejim itu menghentikan sekatannya ke atas Gaza yang bermula sejak 2007.

‘The Great March of Return’ adalah protes yang dilancarkan pada 30 Mac tahun lalu oleh ribuan rakyat Palestin di Gaza – kerana menderita akibat pengepungan Israel selama sedekad.

Sejak perarakan dan tunjuk perasaan diadakan, tentera Israel telah membunuh lebih 250 penduduk Palestin dan mencederakan 26,000 yang lain.

Penduduk Palestin menuntut hak untuk pulang ke tanah air mereka yang diduduki secara haram oleh rejim Zionis Israel sejak Mei 1948.

Langkah itu terpaksa diambil berikutan kesulitan hidup di Gaza serta ancaman yang sengaja dicetuskan pihak berkuasa Israel terhadap Baitulmaqdis.

Penganjur Great March of Return telah berulang kali menyeru masyarakat antarabangsa agar melaksanakan Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menegaskan mengenai hak pelarian Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close