Berita Utama

Bajet 2023: Teruskan subsidi asas, wujud inisiatif bantu rakyat miskin

Tangguh dulu projek mega jangka masa panjang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Safar 1444H, Khamis – Pemberian bantuan kepada golongan miskin tidak sepatutnya ‘once-off cash’ semata-mata, sebaliknya harus berteraskan penyediaan ekosistem ekonomi sara hidup yang lestari.

Justeru, menerusi belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan Oktober nanti, parti BERJASA menyarankan kerajaan menumpukan konsep ‘beri pancing’ melalui inisiatif berupa bimbingan supaya mampu mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad berkata, belanjawan 2023 haruslah bertema dan bertunjangkan perbelanjaan berhemah demi manfaat terus kepada rakyat.

“Sebagai contoh peruntukan pembangunan luar bandar terutamanya untuk negeri Sabah (RM5.2 bilion) dan Sarawak (RM4.6 bilion) dalam Belanjawan 2022 harus diteruskan dengan ketelusan dan keberkesanan projek tanpa rasuah atau salah laku pengurusan.

“Projek-projek pembangunan mega dan mewah berjangka masa panjang pula haruslah ditangguh atau dikurangkan buat sementara waktu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Keluarga Malaysia yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berdepan tugas sukar untuk merancang belanjawan negara tahun hadapan dengan kemungkinan berlaku kemelesetan ekonomi dunia seperti dilaporkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Kadar inflasi yang semakin meningkat akan menyebabkan pihak bank seluruh dunia mengamalkan polisi kewangan yang lebih ketat dan menyebabkan penguncupan ekonomi global.

“Apatah lagi defisit fiskal Malaysia tahun ini dijangkakan meningkat 6.5 peratus daripada GDP berbanding hanya 6.3 peratus pada tahun sebelumnya. Hutang negara pula kini berjumlah 60 peratus daripada GDP,” katanya.

Atas dasar itu, Muhammad Lukman mencadangkan kerajaan untuk menilai semua perbelanjaan kementerian tertentu yang dipertikaikan keberkesanannya.

“Belanjawan 2022 memperuntukkan sehingga RM16 bilion untuk Kementerian Pertahanan dan RM17 bilion untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Akhirnya yang rakyat dapat tahu ialah pelbagai kes rasuah dan projek terbengkalai melibatkan puluhan bilion ringgit dari kedua-dua kementerian penting ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan supaya subsidi asas diteruskan terutama bagi petroleum dan makanan keperluan, kerana menyifatkan ia fokus utama untuk Belanjawan 2023 bagi mengurangkan beban hidup rakyat.

“Selain itu, birokrasi bantuan kewangan atau insentif perniagaan harus dikurangkan bagi memudahkan golongan peniaga kecil dan sederhana.

“Untuk membangunkan ekonomi yang mandiri, kebergantungan kepada pelaburan luar (FDI) juga harus dikurangkan dengan membangunkan kepakaran dan infrastruktur nasional serta bantuan dan insentif yang lebih tinggi buat pembangun teknologi atau usahawan tempatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button