Uncategorized

Warga emas gelabah teksi dilanggar jentera FRT

Prosiding inkues cari punca kematian Adib disambung Khamis 

SHAH ALAM, 14 Jamadilakhir 1440H, Selasa –  Seorang warga emas memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, bahawa beliau dalam keadaan “menggelabah” selepas  jentera Fire Rescue Tender (FRT) melanggar teksi yang dipandunya semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

K. Arumugam, 66, berkata beliau yang memandu teksi jenis Proton Exora ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya yang berdekatan dengan kawasan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya kira-kira 12.30 tengah malam.

Menceritakan detik cemas itu, saksi ke-11 itu berkat, beliau tidak dapat keluar dari teksinya kerana pintu teksinya tersekat akibat pelanggaran itu sebelum dibantu oleh orang awam untuk membuka pintunya.

“Selepas saya keluar daripada teksi, saya masuk semula ke dalam teksi dan kira-kira setengah jam baru saya boleh menenangkan diri saya. Selepas itu ada seorang pemandu tow truck menghampiri saya dan menunda kereta ke Balai Polis USJ8, kemudian saya membuat laporan polis di balai berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah selaku pegawai pengendali inkues bagi menyiasat  kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim. 

Zhafran: Pada 27 November tahun lepas, kamu berada di mana dan apa yang berlaku? Arumugam: Pada hari berkenaan saya dalam perjalanan pulang ke rumah. Ketika itu, van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan  (EMRS) ada di depan teksi saya manakala jentera FRT pula berada di hadapan van EMRS. Saya melihat FRT berundur, lalu melanggar van EMRS sebelum melanggar bahagian hadapan teksi saya.

Zhafran: Bagaimana jentera FRT boleh melanggar teksi kamu sedangkan van EMRS berada di hadapan teksi kamu? 

Arumugam: Selepas FRT melanggar van berkenaan, van itu berpusing ke sebelah kiri dan jentera FRT masih berundur dan melanggar teksi saya sebelum teksi saya berpusing ke belakang.

Zhafran: Kamu nampak atau ingat sesiapa menyerang van EMRS atau FRT semasa berlaku pengunduran?

Arumugam: Perhatian saya hanya terhadap jentera yang sedang berundur ketika itu.

Zhafran: Adakah kamu nampak sesiapa turun atau naik ke atas FRT atau EMRS ? 

Arumugam: Saya tak nampak, sebab masa itu saya gelabah.

Menjawab soalan soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan Jabatan Bomba, mengapa beliau tidak memusingkan keretanya ke arah lain semasa melihat FRT melanggar EMRS, saksi itu berkata, beliau ingat FRT berundur dan tidak menyangka FRT akan  melanggar teksinya.

Syazlin: Ada kamu melihat anggota bomba diangkat dan keluar daripada kawasan kejadian itu?

Arumugam: Saya tidak perhatikan.

Koroner Rofiah Mohamad kemudiannya bertanya kepada saksi itu apa yang dilakukannya dalam  teksi selama 25 minit selepas masuk semula ke dalam teksinya setelah pelanggaran itu, Arumugam berkata dia hanya duduk kerana pening.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Prosiding inkues itu bersambung Khamis ini.- Bernama

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close