Berita UtamaUtama

KDN syor elaun Rela naik RM2

Pegawai dan anggota Rela bakal dapat RM9.80 dan RM8 sejam

PUTRAJAYA, 14 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengemukakan cadangan kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam bagi pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, cadangan itu membolehkan elaun pegawai Rela dinaikkan daripada RM7.80 sejam pada masa ini kepada RM9.80 sejam, manakala elaun anggota naik RM6 sejam kepada RM8.

“KDN akan cuba usahakan supaya kenaikan itu dilaksanakan tahun ini. Namun ia bergantung kepada kelulusan Kementerian Kewangan kerana ia membabitkan peruntukan tambahan RM10 juta setahun berbanding peruntukan sedia ada RM40 juta setahun,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-47 di KDN di sini hari ini, Muhyiddin berpendapat peruntukan tambahan itu tidak melampau dan beliau akan menulis surat sokongan kepada Kementerian Kewangan dengan segera untuk melaksanakan cadangan kenaikan elaun itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, cadangan kenaikan kadar elaun Rela itu setelah mengambil kira kos sara hidup dan kebajikan semua 3.1 juta anggota Rela dan keluarga mereka.

“Kali terakhir elaun Rela dikaji ialah pada tahun 2012 iaitu tujuh tahun yang lalu,” katanya.

Muhyiddin berkata, skop dan bidang kuasa Rela perlu dikaji supaya peranan jabatan berkenaan dapat ditingkatkan.

Dalam ucapan beliau pada majlis berkenaan, Muhyiddin secara peribadi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan Rela.

“Terima kasih kepada Rela yang saya kenali lama sejak saya ‘di sebelah sana’ lagi sehinggalah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di mana rakyat membuat keputusan memberi mandat kepada Pakatan Harapan. Saya berharap Rela akan memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close