Berita UtamaUtama

Beri ruang Dr Mahathir pimpin negara tanpa gangguan politik

Perkahwinan PH sudah retak, mungkin tempoh nikah paling singkat pakatan bentuk kerajaan

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 14 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Cubaan pemimpin parti tamak haloba, DAP mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, hanya akan merumitkan perjalanan pentadbiran negara.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, ketiadaan pemimpin nombor satu itu akan memberi impak besar kepada ekonomi dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, dalam isu ini, Dr Mahathir seharusnya diberi ruang memimpin negara tanpa gangguan politik yang melemahkan pentadbiran kerajaan.

“Kita gesa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar fokus dalam mentadbir negara dan kurangkan drama politik. Perkahwinan antara PH dilihat sudah retak.

“Berkemungkinan besar, tempoh 9 bulan ini hanyalah tempoh ‘pernikahan’ paling singkat dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah pakatan yang membentuk kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendesak Dr Mahathir meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang lalu.

Pemimpin parti rasis itu turut menyelar tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima bekas Ahli Parlimen UMNO, pada masa sama turut menggesa pimpinan PH mengambil pendirian bersama membantah amalan sedemikian.

Sementara itu mengulas mengenai tampuk pemerintahan negara, Shahir berkata, sejak PH mentadbir, nilai mata wang Ringgit jatuh merundum berbanding mata wang lain, termasuk Thai Baht dan Singapore Dollar.

Beliau berkata, sehingga kini tiada pelaburan besar dibawa masuk oleh menteri-menteri, menyebabkan Perdana Menteri terpaksa mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Malah, katanya, di sebalik kegawatan ekonomi yang tidak dapat diperbetulkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP itu pula kelihatan teruja untuk memberi komen mengenai perjumpaan antara Perdana Menteri dan pemimpin PAS.

“Namun begitu, hari ini terbukti bahawa perkara yang diberitahu oleh pemimpin PAS, merujuk kepada solidariti Ahli Parlimen PAS seramai 18 orang untuk menyokong kepimpinan Tun Mahathir sehingga PRU15, adalah suatu perkara yang benar,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close