Berita UtamaUtama

Najib pertikai tindakan PH jual saham M1 kepada Singapura

Banyak lagi aset negara yang dibina kerajaan BN dahulu akan dijual

BANGI, 11 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menjual keseluruhan kepentingan Axiata Group Bhd (Axiata) dalam M1 Limited (M1) kepada Konnectivity Pte Ltd (Konnectivity), pada harga RM1.65 bilion.

Najib berkata, dua tahun sebelum ini dan seiras dengan impian dan rancangan strategik Axiata untuk menjadi syarikat telekomunikasi bertaraf Asian dan global, ia telah cuba untuk menjadi pemegang majoriti demi menguasai M1 dengan menambah pegangan saham mereka.

“Impian dan langkah Axiata ini disokong oleh Khazanah (Khazanah Nasional Bhd) dan kerajaan BN dahulu. Tetapi selepas PRU14, PH telah mengarahkan Khazanah untuk menjual aset-aset mereka dan memulangkan wang kepada kerajaan PH.

“Pada masa yang sama, harga saham Axiata juga jatuh 40 peratus daripada harga RM5.45 pada bulan April sebelum PRU14 kepada RM3.25 sekitar September tahun lepas.

“Oleh itu, pada September lalu Axiata mengumumkan mereka ingin menjual M1 kepada siapa yang berminat. Maka, media Singapura pun melaporkan bahawa harapan dan impian Axiata sudah padam,” katanya menulis di Facebook beliau, hari ini.

Semalam, Axiata yang dimiliki Khazanah dengan rasminya mengumumkan bahawa mereka menjual keseluruhan kepentingan Axiata dalam syarikat telekomuniksasi (Telco) Singapura M1 kepada syarikat milik kerajaan Singapura dengan harga RM1.65 bilion.

Axiata sebelum ini dikenali sebagai Telekom Malaysia bersama Khazanah membeli kepentingan 30 peratus di dalam M1 pada 2005.

Najib berkata, mereka adalah pemegang saham terbesar dalam M1 sejak dari tahun itu sehingga semalam.

Katanya, M1 ialah sebuah syarikat yang untungnya ratusan juta ringgit setiap tahun.

“Selepas Khazanah jual IHH kepada Jepun bulan November lalu, mereka jual M1 kepada Singapura semalam. Bos Axiatta jelas kecewa dengan penjualan ini tetapi tidak dapat membuat apa-apa kerana ini arahan daripada kerajaan PH.

“Seperti yang saya tulis semalam, banyak lagi aset negara yang dibina oleh kerajaan BN dahulu telah, sedang dan akan dijual oleh PH. Inilah istilah jual negara yang sebenar-benarnya. Mengapa PH menjual khazanah bernilai tinggi?” soalnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close