Dr Ahmad Sanusi AzmiPendapat

Kewajipan mencegah kemungkaran

1. JABATAN Agama Islam Wilayah (JAWI) semalam mengumumkan untuk tidak akan melakukan sebarang operasi termasuk serbuan sempena sambutan Hari Kekasih atau Valentine’s Day tahun ini. Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah JAWI dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Agama, Dr Mujahid Rawa.

2. Hanya sesi penerangan sahaja yang akan dilakukan. Larangan menyambut Hari Valentine telah dinyatakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, namun operasi Hari Kekasih tidak akan dilakukan. Perkara ini seakan selaras dengan idea yang pernah dilontarkan oleh Mujahid Rawa sebelum ini iaitu tidak ada operasi mencegah seperti yang dilaporkan oleh media.

(https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/10/06/khalwat-bukan-urusan-kerajaan)

3. Mencegah kemungkaran adalah sesuatu yang dituntut dalam agama. Dalam al-Quran, Allah menyifatkan Bani Israel sebagai bangsa yang dilaknat kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak mencegah (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” Surah al-Maidah: 79.

4. Di dalam Surah al-Tawbah pula, Allah menyifatkan antara sifat orang munafiq itu adalah mereka yang tidak mencegah kemungkaran. Firman Allah:

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik. Surah al-Taubah:67.

5. Bahkan Rasulullah mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Sabda Rasulullah:
((ما من قومٍ يُعْمَل فيهم المعاصي، ثم يقدرون على أن يغيِّروا ثم لايغيروا؛ إلا ويوشك الله أن يعمَّهم بعقابٍ))

“Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya” (HR Abu Daud)

Moga Allah membimbing Muslim dengan al-Quran dan menghidupkan semangat amar makruf dan nahi mungkar.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close