Berita UtamaUtama

Bukit Aman tahan 6 suspek pengganas

Warga Singapura rekrut individu, rancang serang bangunan freemason

BANGI, 10 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap enam suspek, termasuk dua lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian E8 Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi antara 19 Disember 2018 hingga 28 Januari lalu, di Johor, Selangor dan Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama dibuat pada 19 Disember lalu di Johor Bahru membabitkan seorang ahli perniagaan warga Singapura, hasil kerjasama cawangan khas dan Internal Security Department (ISD) Singapura.

“Suspek aktif berhubung dengan Akel Zainal (rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pengganas Daesh di Syria) dan telah membantu menyalurkan dana kepada individu tersebut.

“Suspek juga menerima arahan untuk merekrut beberapa individu bagi tujuan melancarkan serangan ke atas bangunan freemason di Johor Bahru. Suspek telah diserahkan kepada pihak ISD Singapura pada 7 Januari selepas menjalani proses soal siasat oleh cawangan khas,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya juga menangkap seorang lelaki warga Bangladesh dalam operasi di Klang, Selangor apabila suspek dipercayai menyokong perjuangan militan pengganas Daesh, selain aktif merekrut individu di Malaysia untuk menyertai kumpulan berkenaan.

“Tangkapan ketiga pada 10 Januari 2019 di Sepang, Selangor membabitkan dua lelaki warganegara Malaysia, masing-masing berusia 38 tahun dan bekerja sebagai pekerja ladang di sebuah negara luar.

“Kedua-dua suspek telah diusir pulang ke Malaysia selepas ditahan negara tersebut kerana terbabit memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh di Syria,” katanya.

Sementara tangkapan keempat dibuat dalam operasi di Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Januari lalu, membabitkan seorang warga Filipina berusia 21 tahun, yang bekerja sebagai buruh binaan.

Beliau berkata, suspek adalah anggota kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG) dan telah menyusup masuk ke Malaysia sejak Mac tahun lalu, secara tidak sah.

“Suspek mengendalikan pelbagai jenis senjata api dan mempunyai hubungan dengan Furuji Indama (pemimpin kumpulan ASG di selatan Filipina).

“Tangkapan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan anggota ASG yang ditangkap sejak tahun 2017 adalah seramai 39 orang,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, menerusi operasi berkenaan, polis juga menangkap seorang lelaki warga Asia Selatan di Puchong, Selangor pada 28 Januari lalu.

“Suspek telah memberi perlindungan kepada seorang individu dari sebuah negara di Asia Selatan yang disenaraikan dalam Red Notice Interpol kerana terbabit dengan pelbagai aktiviti jenayah serta keganasan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close