Berita UtamaIstimewaUtama

PRK Semenyih: Terjemahkan kemenangan PH kerana menipu

Pakatan Harapan menang PRU14 melalui fitnah, tak tunai janji

Oleh Razali bin Zakaria

SEMENYIH, 9 Jamadilakhir 1440H, Khamis – “Jadikan PRK DUN Semenyih ini sebagai terjemahan perasaan tidak puas hati terhadap ketidakcekapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.”

Demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, hari ini, sebelum mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Sambil berterima kasih kepada penyokong yang masih setia, serta PAS yang memberi laluan kepada BN untuk bertanding, beliau berkata, pada PRK Semenyih ini pertandingan tidak akan memecahbelahkan masyarakat, terutama orang Melayu.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, jentera BN juga tidak perlu risau dengan majoriti yang dimenangi PH pada PRU14 lalu.

“Di luar sana rakyat sudah mula menyampah dan gelisah, kerana berapa banyak tol yang dijanjikan untuk dihapuskan pada pilihan raya lalu tetapi tidak ditunaikan. Itu baru satu, banyak lagi janji yang tak dibuat. Tak apa kita bagi dia peluang.

“Tetapi bagi penduduk Semenyih ini, kita harap jadikan PRK ini sebagai satu referandum terjemahan perasaan tidak puas hati kita terhadap ketidakcekapan PH mentadbir negara dengan janji-janji yang tidak pernah ditunaikan oleh mereka.

“Insya-Allah… jangan risau… kita bekerja kuat dan kita bertawakal kepada Allah Taala… tidak mustahil akan menang. PH menang pada PRU14 dahulu atas dasar fitnah dan menipu orang ramai,” katanya.

Hadir sama pada majlis pengumuman calon BN itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, jentera BN perlu bermuafakat dengan baik dan dapat menyedarkan orang ramai bahawa kerajaan PH yang ada hari ini menang di atas dasar memfitnah dan menipu rakyat dan akhirnya mereka berjaya, tetapi tidak dapat menunaikan janji.

“Hingga ke hari ini terkial-kial tidak tahu apa nak buat… kerana menterinya banyak yang pakai sijil tipu… jadi menteri pun pakai sijil palsu..

“Tapi jentera BN jangan pandang ringan… penting untuk bersatu berdepan PH. Kita berharap pengundi yang menunggu penjelasan kita akan terbuka minda untuk memilih BN. Rakyat di negara ini resah gelisah terhadap apa juga yang berlaku sekarang,” katanya.

Pada majlis itu beliau mengumumkan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, 58 tahun, sebagai calon BN bagi PRK DUN Semenyih.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close