Berita UtamaUncategorized

Lebih 7,500 kasut tiruan bernilai RM55,449 dirampas

Barangan tiruan dijual di pasar malam dan kedai di sekitar Ipoh

IPOH, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak merampas 7,561 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama dengan jumlah sitaan RM55,449 dalam serbuan ke atas tiga premis berasingan di sekitar Menglembu di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, hasil risikan sejak tiga minggu lalu, seramai 16 anggota penguat kuasa terbabit dalam serbuan yang bermula pada 3 petang itu.

“Kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas ketiga-tiga premis yang disyaki menjalankan perniagaan tiruan dan antara barangan (kasut dan selipar) yang kami temui seperti jenama Gucci, Flippers, Adidas, Nike, Converse dan Hermes.

“Hasil siasatan mendapati barangan tiruan ini dijual di pasar malam dan kedai di sekitar Ipoh dengan nilai pasaran RM25 bagi sepasang kasut manakala selipar dijual antara harga RM5 dan RM7,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang tangkapan ke atas pemilik premis namun telah menyoal siasat pengurus dan pekerja di kesemua premis berkenaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali bagi individu.

“Bagi syarikat atau pertubuhan, denda yang boleh dikenakan ialah RM15,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi setiap kesalahan seterusnya,” katanya.  – Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close