Berita UtamaUtama

Usah biarkan undang-undang negara dimanipulasi pihak berkepentingan

Kerajaan terpaksa tanggung kos hidup penjenayah sepanjang hayat 

Oleh Siti Fatimah Ishak

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa Undang-undang negara tidak sepatutnya dibenarkan untuk dimanipulasi oleh penjenayah atau mana-mana NGO, kononnya bagi menepati standard antarabangsa.

Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) tidak menolak kemungkinan ada NGO menuntut pemansuhan hukuman mati, yang mana mereka adalah peguam yang mempunyai kepentingan tersendiri, kerana mewakili penjenayah yang sedang menghadapi pertuduhan yang boleh membawa kepada hukuman mati.

Apa sahaja alasan, UMMAH melihat mana-mana pihak perlu bijak mengimbangi kepentingan para penjenayah dengan masyarakat awam, di mana kepentingan masyarakat awam perlu didahulukan.

Justeru, Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya mengulangi pendirian menentang sekeras-kerasnya cadangan memansuhkan hukuman mati, yang disifatkannya hanya akan lebih meningkatkan kadar jenayah dan membebankan kewangan negara.

“Dalam pada kerajaan hari ini mendendangkan bahawa hutang negara pada kadar yang tinggi, dan potongan dibuat pada banyak sektor, maka seharusnya kewangan negara disalurkan bagi perkara-perkara yang lebih bermanfaat, berbanding digunakan untuk menyara hidup para pelaku jenayah serius.

“Jika hukuman mati dimansuhkan, kehidupan mereka perlu ditanggung sepanjang hayat di dalam penjara. Kos bagi menyara hidup seorang banduan bagi satu hari adalah RM 41, justeru berdasarkan jumlah banduan akhir seramai 1,281 orang di dalam penjara selama 30 tahun, kosnya adalah RM41 x 356 x 30 = RM575 juta.

“Ini adalah wang pembayar cukai yang seharusnya boleh digunakan untuk perkara lebih bermanfaat, seperti penambahbaikan pendidikan, pemberian biasiswa, kesihatan, infrastruktur, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat UMMAH di Hotel Putra, Kuala Lumpur, hari ini.

November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan membunuh.

Rang Undang-undang berkenaan dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat bulandepan.

Berdasarkan takwim daripada laman web Parlimen, sesi Dewan Rakyat akan berlangsung bermula 11 Mac hingga 11 April 2019.

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, dalam undang-undang Islam juga, hukum syarak menetapkan hukuman mati bagi kesalahan-kesalahan tertentu, termasuk bagi jenayah membunuh.

“Misalnya, Islam menetapkan qisas, iaitu bunuh seharusnya dibalas bunuh, jika berjaya dibuktikan melangkaui sebarang keraguan, dan jika ahli keluarga mangsa tidak memberikan kemaafan melalui diyat. Ini selaras sebahagiannya dengan seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang menetapkan hukuman mati bagi kesalahan membunuh.

“Negara kita terlalu banyak kisah-kisah tragis di mana kanak-kanak menjadi mangsa. Sejak lima tahun lalu, sebanyak 9781 kes kanak-kanak hilang telah dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 2, 280 lelaki dan 7,510 perempuan. Itu sebab kenapa hukuman mati tidak wajar dimansuhkan,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close