Berita Utama

Ketirisan RM3.1 juta: Tujuh kakitangan JPJ Johor direman

Dipercayai manipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM

JOHOR BAHRU, 10 Rejab 1442H, Isnin – Tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta, dua tahun lalu.

Perintah reman hingga 28 Februari itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semua mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berumur 27 hingga 42 tahun itu ditahan antara 11 pagi dan 1 tengah hari semalam di pejabat SPRM di sini, bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Menurut sumber, mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM dan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor itu dianggar mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Menurut sumber tersebut, kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa, dan isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button