Berita UtamaUtama

Tiada kemasukan RM90 juta ke akaun PAS?

Belum disahkan sama ada SPRM selesai teliti akaun pemimpin PAS

BANGI, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Tiada kemasukan wang berjumlah RM90 juta yang didakwa daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun rasmi PAS, lapor Malaysiakini.

Portal berkenaan yang memetik sumber sebagai berkata, pihak berkuasa mendapati tiada dana daripada 1MDB atau UMNO disalurkan ke akaun parti Islam itu.

Katanya, penemuan itu dibuat selepas penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti akaun bank PAS dalam siasatan ke atas dakwaan berhubung pemimpin parti itu dituduh menerima RM90 juta daripada UMNO.

“Tiada kemasukan wang RM90 juta daripada 1MDB ke akaun rasmi PAS,” kata sumber yang didakwa pegawai rapat dengan siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, portal itu mendakwa, belum dipastikan sama ada SPRM sudah selesai meneliti akaun peribadi pemimpin PAS yang dikaitkan dalam siasatan tersebut.

Kontroversi PAS menerima wang daripada UMNO timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown.

Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Abdul Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap Rewcastle Brown selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

Rewcastle Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi dan kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua pihak juga tertakluk pada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian berkenaan.

Editor SR sebelum ini mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan akan membantu siasatan berhubung dakwaan sama – RM90 juta – dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.

Jumaat lalu, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz tampil ke Ibu Pejabat SPRM Kelantan untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

Selain itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa turut berbuat demikian di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close