Berita UtamaUtama

PM tak puas hati prestasi anggota Kabinet: Kadir Jasin

Hentilah sikap swafoto, makan semeja dengan kakitangan sendiri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin mengkritik sikap kebanyakan anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan tidak cekap dan mesra rakyat, sehingga mengheret Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima tempias sama.

Beliau dalam tulisan di blognya hari ini berkata, Dr Mahathir sendiri tidak terlalu gembira dan berpuas hati dengan prestasi anggota Kabinetnya itu.

Katanya, setiap kali bersemuka dengan orang ramai dan wartawan, Dr Mahathir sering ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri, sikap mereka yang sering berswafoto serta jarang melawat rakyat.

“Saya melihat dengan mata kepala sendiri, menteri yang disambut macam raja oleh pegawai sendiri dan dikawal rapi oleh polis apabila turun padang sehingga susah untuk rakyat jelata menghampiri mereka.

“Kalau setakat hendak disambut dan makan bersama pegawai kanan dari ibu pejabat tak payahlah susah-susah ke luar bandar atau ke rancangan Felda,” sinisnya.

Tokoh Wartawan Negara itu berkata, sewajarnya apabila ke luar bandar, Felda, Felcra atau perkampungan nelayan, duduklah bersama orang kampung, peneroka, pekebun kecil, nelayan serta peniaga.

“Kurangkanlah atau berhenti berswafoto dengan kakitangan sendiri dan membuat tampalan Facebook, Twitter atau Instagram yang remeh-temeh.

“Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlos,” katanya.

Kadir Jasin mengingatkan bahawa media sosial yang pernah membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) akan menjatuhkan parti itu jika menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri melakukan kerja tidak senonoh dan tidak mesra rakyat.

“Amat tidak bertanggungjawab dan amat dangkal mengharapkan Perdana Menteri menyelesai dan membersihkan semua ‘najis’ yang dibuat oleh menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.

“Baliklah selalu ke kawasan atau ke negeri dan kurangkanlah sikit tabiat tidak berada di kawasan supaya tidaklah dituduh malas atau curi tulang. Ingatlah, dengan adanya media sosial, rakyat jelata menjadi pemberita,” katanya.
 
Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close