Berita Utama

Elak tanah rizab Melayu terhakis, ‘pentadbir’ mesti pakar

Tanah rizab perlu dijaga demi anak cucu pada masa hadapan

BANGI, 15 Ramadan 1444H, Khamis – Kaedah bagi mengelakkan tanah rizab Melayu terus terhakis adalah dengan memperkasakan modal insan pihak yang bertanggungjawab mengurus dan mentadbir tanah berkenaan.

Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia dan Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar berkata, sekiranya tanah rizab Melayu berbaki seluas 4.9 juta hektar dinilai dengan harga pasaran sebanyak RM50,000 sehektar, maka nilai pasaran keseluruhan tanah rizab Melayu dimiliki orang Melayu berjumlah RM245 bilion.

Nilaian ini selepas mengambil kira harga tanah rizab Melayu lebih rendah sehingga 40 peratus di pasaran berbanding tanah lain, katanya. 

Namun, orang Melayu tidak seharusnya melihat keluasan tanah rizab Melayu semata-mata, tetapi juga kualiti dan nilai ekonomi tanah berkenaan.

“Apalah gunanya kita memiliki tanah luas, tetapi nilainya rendah kerana terletak di lokasi mudah terkesan banjir atau jauh di pedalaman. 

“Apapun, luas tanah juga perlu diambil kira kerana ia menentukan nilai pasaran,” katanya dalam tulisan rencana di Berita Harian, hari ini.

Baik dari segi nilai pasaran dan mahupun nilai sentimental, beliau berkata, tanah rizab Melayu sebesar ini adalah khazanah orang Melayu yang tidak terhingga nilainya. 

“Sudah tentu, tanah rizab Melayu bernilai tinggi ini perlu dijaga dan ditambah baik demi anak cucu pada masa hadapan, katanya.

Berikutan itu, pentadbir tanah di agensi berkaitan tanah (ABT) sama ada pada peringkat persekutuan atau negeri perlu memberi keutamaan untuk melindungi dan menambah baik nilai tanah rizab Melayu.

Begitu juga di agensi separa kerajaan, agensi berkaitan kerajaan dan pihak swasta berkaitan dengan pentadbiran serta pembangunan tanah.

“Sesungguhnya, mereka adalah jentera utama dan kakitangan, sekali gus menjadi mata dan telinga kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan menambah nilai tanah berkenaan.

“Mereka perlu mengumpul data, menganalisis dan menambah baik kualiti dan kuantiti tanah rizab Melayu dan tanah lain di negara ini. 

“Justeru, pentadbir tanah perlu mempunyai kemahiran dan kelayakan sesuai untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Dengan kecanggihan sistem pentadbiran tanah hari ini, Prof Ismail berkata, pentadbir tanah perlu memiliki ijazah dalam bidang pentadbiran tanah dengan tujahan khusus berkaitan tanah rizab Melayu.

“Mereka juga perlu dilatih dari semasa ke semasa untuk memperkasa ilmu pengetahuan kesedaran pentingnya menjaga dan menambah baik tanah rizab Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button