Berita UtamaUtama

LHDN tiada kaitan ‘Dana 7 Amanah LHDN’

Yayasan Amal Maaruf digesa buat penjelasan elak salah faham

BANGI, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan mempunyai kaitan dan kepentingan dengan program ‘Dana 7 Amanah LHDN’ yang diperkenalkan oleh Yayasan Amal Maaruf Malaysia, seperti yang dilaporkan media semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi berkenaan berkata, LHDN bertindak membuat penilaian dan memberikan kelulusan terhadap sebarang permohonan mana-mana institusi, organisasi atau tabung yang memohon pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Katanya, kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen berkenaan hanya akan diberikan kepada institusi, organisasi atau tabung yang memenuhi syarat-syarat dalam Garis Panduan Teknikal.

“Senarai institusi, organisasi atau tabung yang telah diberikan kelulusan boleh disemak melalui portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my > Lain-lain > S.S 44(6) DERMA.

“Sehubungan itu, LHDNM menggesa Yayasan Amal Maaruf Malaysia membuat penjelasan segera berkenaan hal ini bagi mengelakkan salah tanggapan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Kenyataan agensi itu merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Yayasan Amal Maaruf sasar kutipan lebih RM51j’ yang menyatakan yayasan itu mensasarkan kutipan dana menjangkau RM51.35 juta pada tahun ini membabitkan pembayar cukai di seluruh negara menerusi program ‘Dana 7 Amanah LHDN’.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close