Berita UtamaUtama

Keadilan untuk Adib: UMMAH tuntut kerajaan kekalkan hukuman mati

Mansuh hukuman mati seperti utamakan penjenayah berbanding rakyat

Oleh Siti Fatimah Ishak

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bimbang cadangan pemansuhan hukuman mati yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat bulan depan, akan menyebabkan keadilan yang dituntut atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak terbela.

Sama ada berkait atau tidak, UMMAH melihat ianya rangkaian kronologi yang tidak baik untuk sebuah negara, yang seharusnya mengutamakan kedaulatan undang-undang, melindungi masyarakat awam dan menghukum para penjenayah.

Pada 27 November tahun lalu, Muhammad Adib diserang perusuh di Kuil Sri Maha Maniamman, Seafield, tanpa mempedulikan Allahyarham ketika itu adalah seorang penjawat awam. 

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib dilaporkan ditarik perusuh dan dipukul tanpa belas kasihan, dan  beliau meninggal dunia ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.

Polis sebelum ini menangkap empat lelaki disyaki terbabit menyerang Muhammad Adib, tetapi Mahkamah Majestret kemudian membebaskan mereka dengan ikat jamin polis dan bon mahkamah.

Kes itu mulanya disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh, tetapi kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

Sebagai menuntut keadilan menghukum pembunuh Muhammad Adib, Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya menuntut supaya kerajaan menghentikan moratorium terhadap pelaksanaan hukuman mati dengan serta-merta.

“Hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah terhadap mana-mana kesalahan hendaklah dilaksanakan, dan kerajaan selaku cabang eksekutif tidak berhak untuk menangguh atau melengah-lengahkan hukuman yang diperintah.

“Kita tuntut kerajaan kekalkan hukuman mati, berikan kebebasan kepada para hakim untuk menentukan hukuman yang wajar berdasarkan kepada fakta kes secara keseluruhan, termasuk menjatuhkan hukuman mati bagi kes-kes serius,” katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat UMMAH di Hotel Putra, Kuala Lumpur.

November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu untuk kesalahan membunuh.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 1,280 banduan yang menunggu hukuman mati menghuni beberapa penjara di seluruh negara termasuk warga negara asing.

Justeru, Haji Aminuddin berkata, UMMAH menggesa kerajaan menangguh atau membatalkan pembentangan rang undang-undang berkenaan kerana pelaksanaannya kelak tidak relevan.

Katanya, kerajaan seharusnya mengutamakan hak dan kepentingan rakyat negara ini, berbanding para penjenayah yang jumlahnya sekadar minoriti.

“Hak asasi dan keselamatan masyarakat majoriti rakyat Malaysia seharusnya diberikan keutamaan. Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan untuk melindungi nyawa setiap rakyat Malaysia, dan ini tentunya termasuk tanggungjawab menghukum para pembunuh.

“Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan secara atas talian oleh akhbar New Straits Times, 82 peratus menyokong mengekalkan hukuman mati, dan menentang usaha untuk menghapusnya. Manakala petisyen atas talian “Do not abolish death penalty” pula telah mendapat sokongan hampir 60,000 penandatangan setakat hari ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close