Berita UtamaUtama

Henti guna produk tradisional Nan Bao

Penggunaan sildenafils tanpa pengawasan boleh sebabkan kesan advers

BANGI, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional, Nan Bao (capsule) yang dikesan mengandungi racun berjadual sildenafil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, pendaftaran produk berkenaan telah dibatalkan berikutan pengesanan racun berjadual sildenafil yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Beliau berkata, sildenafil dan analognya adalah tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai produk tradisional, kerana sangat berbahaya bagi orang awam yang berisiko tinggi terhadap kesan advers tersebut, terutamanya pesakit bermasalah jantung yang mengambil ubat nitrate.

“Sildenafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi sidenafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

“Penggunaan sildenafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan advers serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk berkenaan supaya menghentikan penjualan serta pengedarannya serta-merta.

“Pejualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close