Berita Utama

Wanita UMNO kutuk sekerasnya filem Mentega Terbang

Cubaan promosikan budaya 'tak apa' dalam masyarakat negara

BANGI, 13 Syaaban 1444H, Isnin – Tindakan tegas wajar dikenakan terhadap semua pihak yang terbabit dalam pembikinan filem Mentega Terbang, yang didakwa menghina agama Islam.

Sehubungan itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menggesa jawatankuasa khas diwujudkan untuk memperhalusi dan menambahbaik garis panduan sedia ada.

Beliau berkata, langkah itu termasuk menguatkuasakan undang-undang di negara ini bagi mengelakkan kejadian sama tidak berulang kembali.

“Walaupun menggalakkan industri kreatif di negara ini tetapi perlu ada mekanisme yang jelas sebelum mana-mana filem ditayangkan bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.

“Wanita UMNO mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan filem kontroversi Mentega Terbang yang jelas bukan saja mempunyai unsur-unsur yang tidak wajar tetapi lebih dahsyat menghina dan memperlekehkan kesucian agama Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, penyebaran filem itu boleh memberi kesan besar kepada masyarakat, terutama memesongkan akidah dan mengelirukan umat Islam khususnya anak muda.

Pada masa sama, beliau menyifatkan tayangan filem itu seolah-olah cubaan mempromosikan budaya ‘tak apa’ dalam masyarakat di negara ini.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menegaskan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pelanggaran terhadap filem berkenaan.

Finas juga kini sedang melakukan siasatan penuh terhadap penerbitan filem terbabit.

Filem Mentega terbang mula ditayangkan di aplikasi penstriman dalam talian pada 19 Januari dan ditarik semula pada 27 Februari lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button