Berita UtamaDunia

Israel potong dana Palestin untuk balas dendam

Rejim Zionis tuduh penduduk Palestin bunuh wanita Yahudi

BAITULMAQDIS, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Negara haram Israel akan mengurangkan dana kepada pihak berkuasa Palestin (PA), susulan seorang wanita Yahudi terbunuh, Jumaat lalu.

Keputusan itu dibuat sebagai tindak balas, ekoran seorang penduduk Palestin, Arafat Irfaiya, 29, didakwa menyebabkan kematian, Ori Ansbacher, 19, di wilayah Jabel Mukaber.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk membekukan penyaluran dana, selepas didesak Menteri Pendidikan Naftali Bennett, antara golongan nasionalis yang mahu tindakan itu dibuat secepat mungkin.

“Hujung minggu ini, proses untuk melaksanakan undang-undang memotong gaji akan selesai.

“Ahad depan saya akan mengadakan mesyuarat Kabinet, dan kita akan meluluskan keputusan membuka dana ini. Dana kepada Palestin akan dipotong mulai minggu depan,” katanya.

Untuk rekod, Israel mengutip kira-kira AS$127 juta duti kastam terhadap barangan untuk pasaran di Palestin yang melalui pelabuhan Israel. Kemudiannya, Israel akan membayar kutipan terbabit kepada PA.

Tahun lalu, situasi sama berlaku apabila Parlimen Israel meluluskan undang-undang membeku sebahagian dana kepada Palestin.

Difahamkan, ia sebagai tindak balas terhadap ahli keluarga penduduk Palestin yang dipenjarakan Israel kerana menyerang warga Yahudi. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close