Berita UtamaUtama

Isma gesa PM pandang serius isu penipuan kelayakan akademik

Negara lebih rugi ada pemimpin tiada integriti, tahap pendidikan rendah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Negara akan lebih rugi jika mempunyai pemimpin yang tiada integriti dan memiliki tahap pendidikan yang rendah, berbanding kerugian membabitkan syarikat pelaburan kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Justeru, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memandang serius isu kelayakan akademik palsu dan meragukan, membabitkan beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH).

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, isu penipuan sijil akademik itu akan memberikan dua implikasi besar iaitu penipuan yang membabitkan kepercayaan dan integriti, termasuk kelayakan, kemampuan berfikir dan membuat dasar serta mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.

“Dua perkara ini sebenarnya telah menghilangkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. Imej menipu, memalsu, berbohong tidak akan menyebabkan dasar-dasar kerajaan menjadi efektif.

“Kini telah terbentuk jurang yang jauh di antara rakyat dengan kerajaan. Kalau imej kerajaan begitu sinonim dengan tipu, palsu dan mungkir janji, bagaimana rakyat boleh percaya kepada cakap-cakap menteri.

“Dulu dia bohong, mana tahu kali ini pun dia bohong lagi?,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu kelayakan akademik yang meragukan membabitkan beberapa pemimpin PH, sehingga kecoh diperbincangkan pengguna media sosial sejak minggu lalu.

Sejak beberapa hari lalu, isu kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya sebagai pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan Perniagaan yang diperoleh daripada Universiti Cambridge, melalui program pengajian jarak jauh dipertikai.

Status akademik Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjadi persoalan apabila satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan bahawa Universiti Cambridge sebenarnya tidak menawarkan program pengajian jarak jauh untuk kursus perniagaan.

Terbaharu, kecoh di media sosial apabila netizen mempertikaikan kelayakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakuanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasil pemeriksaan mereka mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti itu.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, kerajaan yang jujur tidak sepatutnya terus memegang kuasa, dalam keadaan mereka mengetahui bahawa mandat rakyat terhadapnya sudah tiada.

“Saya nasihatkan Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan memandang serius perkara ini demi kepentingan dan masa depan negara.

“Saya percaya dengan pemimpin yang tiada integriti dan rendah pendidikan, negara sebenarnya mengalami kerugian melebihi kerugian oleh sebab 1MDB,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat kelulusan kepada mana-mana individu yang mahu bertanding dalam pilihan raya umum atau kecil.

“Negara telah melahirkan ramai cerdik pandai yang memiliki kelulusan yang tinggi, kenapa urusan pemerintahan negara yang merupakan urusan paling penting diserah kepada mereka yang tidak berpendidikan, ada rekod dibuang sekolah, tidak lulus peperiksaan dan sebagainya.

“Tidakkah kita patut malu kepada dunia kerana memiliki pemimpin seperti ini seperti kita malu memiliki pemimpin pencuri atau kleptokrasi,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close