Berita UtamaUtama

Calon PRK Semenyih digesa buat semakan awal

Buat pembayaran deposit pilihan raya, bahan kempen lebih awal: SPR

BANGI, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Calon yang berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih digesa supaya mengisi dan membuat semakan awal borang pencalonan mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, semakan awal pengisian borang pencalonan boleh dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus iaitu di Pejabat Majlis Perbandaran Kajang atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon.

Azhar berkata, tujuan semakan awal ini adalah untuk memastikan semua bakal calon mengisi borang itu dengan betul dan menepati syarat serta kelayakan yang ditetapkan bagi mengelak kesilapan pengisian borang sebelum hari penamaan calon.

“Langkah ini dapat menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Malah, ia juga dapat memberi peluang kepada parti-parti yang calonnya didapati tidak layak, ketika semakan awal untuk membuat persiapan sewajarnya pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak, hendaklah dikemukakan oleh bakal calon atau penyokong atau pencadangnya kepada pegawai pengurus pilihan raya Sabtu ini.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga digesa membuat pembayaran deposit (deposit pilihan raya dan deposit bahan kempen) lebih awal.

“Bakal-bakal calon juga diminta mengambil pas-pas calon, pencadang dan penyokong selepas bayaran deposit dibuat bagi tujuan kebenaran memasuki pusat penamaan calon.

“Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berjalan lancar pada hari penamaan calon kelak,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close