Berita UtamaUtama

Angka korban pangsapuri runtuh di Istanbul meningkat

Usaha mencari, menyelamat mangsa masih diteruskan

ISTANBUL, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Jumlah kematian akibat insiden pangsapuri lapan tingkat runtuh di sini, meningkat kepada 21 mangsa, sementara 14 yang lain dilaporkan cedera.

Dalam kejadian pada Rabu lalu, bangunan di kawasan Kartal di sebelah Asia bandar itu runtuh, dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, pihaknya menjangkakan 35 orang berada di dalam bangunan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Setakat ini, 21 mayat berjaya dibawa keluar daripada runtuhan, termasuk warga Asia Tengah,” katanya.

Gabenor bandar, Ali Yerlikaya berkata, empat belas unit pangsapuri telah didaftarkan, tetapi tiga tingkat di atas bangunan berkenaan dibina secara tidak sah, termasuk bengkel tekstil di pintu masuk premis itu yang beroperasi tanpa lesen.

Penduduk di tujuh bangunan berhampiran telah dipindahkan atas faktor keselamatan, manakala pendakwa di Istanbul masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian.

Soylu berkata, usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan dan operasi pembersihan runtuhan dimulakan di tingkat pertama sebelum diteruskan ke tingkat bawah.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close