Berita UtamaUtama

Adib dalam van ERMS ketika jentera FRT undur: Saksi

Pemandu FRT sebak ketika melihat dokumen, gambar Allahyarham

SHAH ALAM, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diberitahu, Allahyarham berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) berundur apabila diserang sekumpulan orang awam.

Pegawai ‘medic’ yang juga pemandu van EMRS, Ahmad Shahrill Othman berkata, ketika FRT berkenaan berundur, ia (FRT) seolah-olah menolak kenderaan yang dipandunya.

Beliau berkata ketika itu, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS berada di sebelahnya dan kedua-dua mereka masih berkomunikasi.

“FRT itu macam menolak kenderaan EMRS saya. Saya cakap ‘lajunya si Hazim’ (pemandu FRT) . Dia (Muhamad Adib) tidak jawab.

“Dia (Muhamad Adib) tercengang dan tangan kanannya pegang papan pemuka hadapan van manakala tangan kirinya diletakkan di pintu van,” katanya ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues itu.

Saksi ketiga itu berkata demikian pada hari pertama prosiding inkues di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Sementara itu, pemandu FRT dari BBP Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor ketika menyambung keterangan pada prosiding sebelah petang berkata, beliau bertindak mengundur jenteranya sejauh 80 meter ketika diserang perusuh.

“Ketika berundur, ada dua kereta di belakang termasuk sebuah teksi jenis Proton Exora dan satu lagi kereta yang tidak dikenal pasti,” katanya.

Saksi kedua itu pada suatu ketika kelihatan sebak ketika melihat dan menyelak dokumen serta gambar Muhamad Adib yang ditunjukkan kepadanya.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok dengan pihak terbabit dalam inkues melawat lokasi kejadian rusuhan. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close