Berita UtamaDuniaUtama

Raja Siam tak setuju kakak sulong tanding calon PM

Parti Raksa Chart batal semua kempen Puteri Ubolratana

BANGKOK, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Parti Raksa Chart (PRC) membatalkan semua kempen yang dirancang bagi berdepan Pilihan Raya Umum akan datang, selepas Raja Thailand menolak pencalonan kakaknya bagi kerusi perdana menteri.

“Thai Raksa Chart mematuhi perintah diraja. Sebarang kempen untuk beliau digantung tatkala parti membuat kajian semula,” kata parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dalam satu kenyataan.

Pengumum PRC itu dibuat sehari selepas mengumumkan Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi sebagai calon Perdana Menteri Thailand dalam kempen pilihan raya yang bakal diadakan Mac ini.

Thailand adalah negara raja berperlembagaan dan belum ada mana-mana keluarga diraja yang bertanding bagi jawatan perdana menteri sejak 1932.

Puteri Ubolratana, 67 tahun, dilucutkan gelaran dirajanya selepas berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat (AS), Peter Ladd Jensen pada 1972.

Bagaimanapun, beliau kembali ke Thailand pada lewat 90-an selepas bercerai. Walaupun, gelarannya tidak pernah dikembalikan, rakyat Thailand tetap melayan dan menghormatinya sebagai anak raja.

Puteri Ubolratana adalah anak sulong Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, sementara Raja Maha Vajiralongkorn (Rama X) adalah satu-satunya anak lelaki Rama IX dari Dinasti Chakri.

Pemilihan beliau menempa sejarah apabila menjadi anak raja Thailand pertama terbabit secara langsung dalam politik negara itu, dan calon perdana menteri, serta mengancam status quo kerajaan tentera yang menggulingkan pentadbiran Yingluck Shinawatra dalam rampasan kuasa 2014.

Dalam satu kenyataan, Raja Vajiralongkorn berkata, tindakan kakak sulongnya itu ‘tidak sesuai’ dan tidak berperlembagaan.

Tanpa mengkritik Puteri Ubolratana, Raja Vajiralongkorn menyalahkan parti politik kerana mengetengahkan kakaknya.

Katanya, Puteri Ubolratana adalah individu yang amat dihormati oleh semua anggota keluarga diraja, tetapi monarki di Thailand mesti berada pada kedudukan lebih tinggi daripada politik.

“Pembabitan beliau dalam politik bertentangan dengan pendirian tradisi negara dan tidak sesuai,” katanya. – Agensi

Politik Thailand ‘bergegar’, kakak Raja Vajiralongkorn jadi calon PM

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close