Berita UtamaUtama

Defisit kerajaan PH naik satu kali ganda: Najib

Bekas PM curiga perbelanjaan kerajaan PH untuk tempoh 8 bulan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencurigai perbelanjaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tempoh lapan bulan, apabila defisit kerajaan naik satu kali ganda sejak parti itu mengambil alih pemerintahan.

Menulis di Facebook beliau hari ini, Najib berkata, perbelanjaan kerajaan untuk tempoh Mei hingga Disember 2018 ialah RM187.31 bilion, berbanding RM171.65 bilion untuk tempoh 2017 yang sama di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini bermakna defisit di bawah PH iaitu RM26.05 bilion adalah lebih satu kali ganda berbanding defisit RM13.2 bilion untuk tempoh sama di bawah BN pada tahun 2017.

“Defisit ini meningkat walaupun mereka telah menjarah RM26 bilion dari Petronas untuk tahun ini.

“Jika wang tambahan yang PH ambil dari Petronas ini tidak diambil kira, kerajaan PH telah mengalami defisit sebanyak RM52.05 bilion, iaitu 4 kali ganda berbanding BN,” katanya.

Lebih mencurigakan, kata Najib, perbelanjaaan kerajaan PH untuk tempoh lapan bulan selepas mengambil alih pemerintahan adalah RM16 bilion lebih tinggi berbanding BN, walaupun rata-rata bantuan kepada rakyat telah dimansuhkan atau dikurangkan.

“Di mana perginya perbelanjaan ini pula? Untuk siapa? Mengapa lebih tinggi? Untuk keseluruhan tahun 2018 pula, defisit kerajaan ialah RM52.7 bilion berbanding RM40.3 bilion di bawah BN pada tahun 2017.

“Oleh itu, hutang rasmi kerajaan untuk tahun 2018 dijangka telah naik di bawah PH ke sekitar RM750 bilion walaupun pelbagai projek dan bantuan telah dimansuh atau dikurangkan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, menerusi data rasmi terbaharu daripada Bank Negara Malaysia (BNM) itu, impian kerajaan PH untuk mencapai kadar hutang RM1 trilion semakin hampir.

Beliau berkata, jika wang Petronas tidak dijarah untuk menutup hasil yang telah berkurangan, hutang negara sudah mencecah RM775 bilion.

“Sebelum PRU14, PH sering janji mereka akan turunkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 20 peratus dengan mengurangkan rasuah, pembaziran dan penyelewangan.

“Tetapi apa sudah jadi hari ini? Sebaliknya perbelanjaan, defisit dan hutang bertambah. Kalau ikut logik PH sebelum ini, adakah rasuah, pembaziran dan penyelewangan telah bertambah di dalam tangan mereka?,” katanya.

Najib berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak akan menjawab kerana sudah malas, walaupun isu defisit meningkat satu kali ganda itu adalah isu besar untuk rakyat.

“Mana dia berani mengaku PH telah naikkan defisit negara 100 peratus dan tambahkan lagi hutang negara?

“Data-data di lampiran ini, saya petik dari laporan rasmi Bank Negara Malaysia, bukan dari Universiti palsu yang sebenarnya ialah kedai gunting rambut,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close