Berita UtamaIstimewaUtama

‘Budi Abdul Bari tak terbalas’

Pemancing ditemukan lemas sempat selamatkan tiga beranak

KUALA TERENGGANU, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Walaupun dalam kepenatan, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31 tahun, tahu beliau perlu menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terjunam ke Sungai Terengganu di Pulau Warisan kelmarin.

“Arwah dilihat kepenatan tetapi tetap gigih dan berulang kali terjun ke sungai terutama apabila melihat orang awam lain yang turut sama menyelamat sudah mengalami kekejangan otot.

“Paling tidak dapat dilupakan tindakan pantas menyelamatkan anak saya yang berusia tiga tahun,” kata mangsa yang diselamatkan, Nordiana Alwani Jaafar, 33, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Kesungguhan dan kegigihan Allahyarham menyelamat bukan sahaja bagaikan memberi ‘nyawa baharu’ tetapi budi yang tidak akan terbalas selamanya.

Nordiana Alwani berkata, beliau masih teringat-ingat bagaimana reaksi Allahyarham, individu pertama yang muncul untuk menyelamat di dalam air yang bagaikan memberi semangat kepadanya supaya menyelamatkan diri.

Selain beliau, ibu tirinya, Suryati Rosli, 37; adik ibu tirinya, Asmaa Rusly, 23; anaknya, Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3; dan adiknya, Safawani Jaafar, 11, berada di dalam kenderaan itu.

Tiga tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh Allahyarham.

Menceritakan kejadian itu, Nordiana Alwani berkata ketika itu apa yang difikirkannya hanyalah mati, namun kehadiran Abdul Bari Asyraf menaikkan semangatnya dan perkara pertama yang dilakukan adalah menyerahkan anaknya yang berusia tiga tahun kepada arwah.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam sekelip mata sahaja kenderaan sudah tenggelam ke dasar.

“Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan dan dalam masa sama nampak orang (Abdul Bari Asyraf) terjun ke sungai untuk membantu menyelamat,” katanya.

Nordiana Alwani yang dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 pagi tadi turut menemui keluarga arwah hingga menarik perhatian orang awam apabila dilihat menangis sambil memeluk keluarga terdekat arwah sambil mengucapkan permohonan maaf serta terima kasih berkali-kali.

Ibu Abdul Bari Asyraf, Masitah Awang, 60, yang turut ditemui berkata, walaupun sedih kehilangan anak ketiga daripada lapan anaknya itu, beliau tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya anaknya ditemukan dan dapat dikebumikan.

Katanya, arwah yang masih bujang dan bekerja sebagai jurukimpal itu adalah seorang yang periang dan disenangi rakan dan taulan.

“Meskipun hanya mampu melihat jasadnya yang kaku, tetapi saya tetap bersyukur kerana anak saya ditemui. Kami telah berkampung di lokasi kejadian sejak malam Jumaat dan akan pulang sekejap ke rumah pada awal pagi untuk solat Subuh sahaja,” katanya.

Jenazah Abdul Bari Asyraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Patah di sini kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Suasana pilu menyelubungi hampir 500 anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk kampung yang hadir. Sebelum itu, jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di masjid kampung sama selepas solat Zohor. – Bernama

Raut wajahnya nampak tenang, tapi dalam hati tiada siapa tahu

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close