Berita UtamaIstimewaUtama

Sijil Marzuki: Amerika tak iktiraf ijazah CIU, lapor akhbar London

Cambridge International University menawarkan 150 program tetapi menyenaraikan hanya 25 ahli fakulti, di mana gambar profil salah seorang ahli fakultinya mempunyai watermark American dating website

BANGI, 4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Pertikaian status kelayakan akademik Datuk Marzuki Yahya, semakin panas apabila akhbar ternama berpangkalan di London – The Telegraph – turut membuat laporan mengenai ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar Malaysia itu.

Semalam, Marzuki mengemukakan bukti dengan menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang diperoleh daripada Cambridge International University (CIU) Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut memuat naik ijazah yang didakwa diperolehnya pada 2005 selepas menyertai program pengajian jarak jauh bersama CIU pada sekitar tahun 2002.

Dalam berita bertajuk – ‘Malaysia deputy foreign minister urged to quit over ‘fake Cambridge degree’ – akhbar berkenaan berkata, CIU mengakui sijil mereka tidak diiktiraf oleh Jabatan Pelajaran AS.

“Cambridge International University dalam laman webnya mengatakan mereka tidak diakreditasi oleh pihak berkuasa pendidikan AS, menawarkan 150 program – termasuk ‘pengurusan kasino’ – namun hanya menyenaraikan 25 ahli fakulti.

“Satu gambar profil ahli fakulti wanita mempunyai tera air (watermark) yang muncul daripada laman American dating website,” lapor akhbar berkenaan.

Bagaimanapun semakan Ismaweb mendapati laman web CIU dan Facebook mereka telah digodam dan tidak mengandungi apa-apa maklumat.

Pada masa sama, pelbagai pihak terus mempertikaikan ijazah yang diperoleh Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, kerana mempunyai percanggahan, selain dikatakan hampir sama dengan transkrip sijil contoh yang dipaparkan laman web CIU sebelum digodam.

Ahli Parlimen Air Hitam, Wee Ka Siong ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, transkrip universiti yang dikemukakan Marzuki sebagai bukti kelayakan beliau didapati mempunyai gred yang semua sembilan mata pelajaran serta purata nilai gred (GPA), yang 100 peratus sama dengan transkrip contoh dipapar dalam laman web CIU.

“Maka, kita hanya ada tiga kemungkinan mengapa ini berlaku. Pertama, ini ialah kebetulan yang amat luar biasa. Lebih susah untuk ditemui berbanding dengan kita kena hadiah pertama Sports Toto.

“Kedua, universiti yang sudah lama diragui ramai ini, menghantar keputusan yang serupa kepada semua ‘graduan’ yang membayar yuran, dan ketiga, dicopy, paste dan edit,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna laman sosial, Mohd Afiq Aizuddin turut memberi ringkasan apa yang tidak kena pada sijil yang ditunjukkan Marzuki.

Katanya, dengan jelas pada sijil itu ditulis Gred A iaitu dengan markah 4.0, tetapi sijil Timbalan Menteri Luar menunjukkan beliau memperoleh markah 3.9 bagi Gred A.

Katanya, minimum untuk lulus dan memperoleh ijazah sekurang-kurangnya memerlukan 120 jam kredit, tetapi Marzuki hanya mempunyai 45 jam kredit sahaja.

“Lambang Cambridge International University (CIU) di sijil tak sama dengan lambang (disiarkan dalam) web rasmi. Yang dia guna tu CIU cawangan US. Tapi, kalau… Google balik, macam tak wujud pun CIU cawangan US.

“Alamat kolej CIU ni dekat lot kedai (saja)… kalau cawangan, biasa la kot sewa. Tapi ini Cambridge. Takkan nak sewa area shoplot sebaris kedai urut, kedai gunting rambut, kedai runcit,” katanya.

Seperkara lagi, katanya, amat jarang pihak di AS menulis nama Melayu ‘Marzuki bin Yahya’, kerana biasanya negara itu mengguna pakai sistem ‘first name, last name’.

“(Tetapi) kalau sijil itu tulis Yahya Marzuki nampak logik sikit,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close