Berita UtamaIstimewaUtama

Siaran langsung Analisis malam tadi bukti Yadim kini ‘proksi’ DAP

Program TV Alhijrah jam 10 malam tadi tampilkan Adun DAP yang juga ALPA Yadim, Sheikh Omar yang bercakap mempertahankan parti itu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – ‘Yadim: Arah & Haluan?’ Demikian tajuk program Analisis TV Alhijrah yang bersiaran secara langsung jam 10 malam tadi, menampilkan dua tokoh politik yang menganggotai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Yang Dipertua Yadim, Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz – bekas calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) – dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yadim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh daripada DAP, Sheikh Omar Ali, menjadi tetamu rancangan dihoskan Syafinaz Yunus.

Namun, dengan bersiaran selama hampir sejam ‘Yadim: Arah & Haluan’ – walaupun sejak penubuhannya yayasan itu telah mempunyai arah dan haluannya – malam tadi jauh berbeza daripada yang sepatutnya, apabila Sheikh Omar lebih banyak mempromosikan DAP, yang sebelum PRU14 lalu lebih banyak menyerang dan menghina Islam dan umatnya.

Berkelulusan ijazah dalam Usuluddin (pengkhususan dakwah) Universiti Malaya, Sheikh Omar, dalam program itu lebih banyak mempertahankan DAP yang dituduh memperjuangkan demokrasi sekular, tidak bersetuju Islam diperkasa dan tidak mengiktiraf Islam agama Persekutuan.

Bercakap pada program malam tadi, Ahli Exco Negeri Johor itu berkata, DAP sebenarnya memperjuangkan demokrasi sosial, bukan demokrasi sekular seperti yang didakwa.

Beliau menyifatkan tuduhan bahawa DAP adalah parti demokrasi sekular hanyalah propaganda daripada musuh politik.

Sheikh Omar juga menyangkal dakwaan bahawa DAP tidak bersetuju Islam diperkasakan, selain menafikan parti itu tidak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dakwaan itu hanyalah tohmahan semata-mata. Kalau kita nak kata sekular, dulu PAS pun kata UMNO sekular sehingga berlaku perpecahan. Sekarang tidak beberapa sekular,” kata bekas ahli PAS itu yang menyertai DAP pada 2015.

Mengenai pelantikan beliau sebagai ALPA Yadim yang menjadi pertikaian kerana beliau seorang ahli DAP – parti yang dilihat sebagai menentang, memburuk-burukkan Islam dan cuba mengetepikan hak bangsa Melayu dan Bumiputera – Sheikh Omar berkata, pertikaian itu sepatutnya tidak berlaku kerana DAP tidak menyatakan secara khusus parti itu untuk orang Cina, kafir dan sebagainya.

“Maka tidak sepatutnya timbul isu orang DAP masuk dalam Yadim. Tidak adil untuk saya jawab mengapa saya dilantik. Yang adil saya jawab amanah telah diberikan oleh pimpinan parti dan tanggungjawab (perlu) dipikul,” katanya.

Baru-baru ini, isu pelantikan ALPA Yadim kecoh di media sosial apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengesahkan melantik Sheikh Omar untuk mengisi salah satu jawatan berkenaan.

Bukan sahaja pelantikan wakil rakyat Paloh itu dipertikaikan, bahkan hampir semua lantikan dalam agensi di bawah kerajaan itu dipersoalkan kerana didominasi individu yang mempunyai kaitan politik, berbanding sebelum ini.

Mereka adalah enam individu dari Parti Amanah Negara (PAN), Nik Omar; timbalannya, Zolkharnain Abidin; Datuk Abdul Ghani Shamsuddin; Ahmad Sayuti Bashiron; Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Dua lagi membabitkan wakil PKR iaitu Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat dan Sheikh Omar (DAP).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close