Berita UtamaDuniaUtama

Lelaki tembak mati jemaah masjid dipenjara seumur hidup

Hakim tegaskan Bissonnette serang jemaah kerana bermotif perkauman

QUEBEC, 4 Jamadilakhir 1440H, Sabtu – Seorang lelaki warga Kanada yang menembak mati enam jemaah ketika solat di sebuah masjid di Quebec pada 2017, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Quebec, Francois Huot menjatuhkan hukuman itu ke atas Alexandre Bissonnette, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan pembunuhan peringkat pertama dan enam cubaan membunuh.

Hakim turut menolak permintaan pihak pendakwaan agar Bissonnette dihukum penjara 150 tahun, dengan menyatakan permintaan itu ‘tidak masuk akal’, lapor CBC Canada.

Hakim menyifatkan tindakan Bissonnette yang memasuki masjid ketika umat Islam sedang solat dan menembak jemaah bukan serangan pengganas, tetapi bermotif perkauman dan prasangka terhadap orang Islam.

Pada masa sama, hakim juga menegaskan, Bissonnette mengalami masalah kesihatan mental, termasuk obsesi bunuh diri, yang menjadi peranan dalam insiden tembakan sehingga mempengaruhi perlakuannya.

Pada insiden dua tahun lalu, dilaporkan lebih daripada 50 orang berada di masjid ketika tembakan dilepaskan di Pusat Kebudayaan Islam di Quebec City.

Ketika itu, sembilan belas orang cedera dan tujuh orang kritikal.

Mengulas mengenai hukuman ke atas Bissonnette, seorang daripada mangsa cedera, Aymen Derbali yang kini lumpuh berkata, beliau kecewa dengan keputusan hakim.

Katanya, hukuman terhadap pembunuh tidak setimpal dengan perbuatan jenayah yang telah menghancurkan kehidupan mangsa dan ahli keluarga. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close