Berita UtamaDuniaTimur TengahUtama

Putera Mahkota ugut guna ‘peluru’ terhadap Khashoggi: NYT

New York Times kata perisik AS pintas perbualan Putera Mohammed bin Salman dengan pembantunya setahun sebelum kolumnis The Washington Post dibunuh

BANGI, 3 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Setahun sebelum Jamal Khashoggi dibunuh, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman memberitahu pembantunya, beliau akan menggunakan ‘peluru’ terhadap wartawan itu jika masih enggan pulang ke Arab Saudi dan menghentikan kritikannya kepada kerajaan, lapor New York Times (NYT).

Kenyataan putera mahkota itu kepada pembantunya pada 2017 dibuat sebelum Khashoggi dibunuh hujung Oktober tahun lalu di dalam pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki, lapor NYT yang memetik bekas diplomat dan pegawai luar Amerika Syarikat (AS) yang mengetahui laporan perisikan.

Putera Mohammed atau MBS dikatakan membuat ugutan itu ketika perbualan dengan pembantunya, Turki Aldakhil pada September 2017, yang dipintas perisik Amerika Syarikat (AS), kata NYT.

Maklumat itu ‘adalah yang paling lengkap’ setakat ini mengenai rancangan putera mahkota itu untuk membunuh Khashoggi, lapor NYT.

Analisis CIA menafsirkan ‘peluru’ yang dikatakan MBS, yang bererti putera mahkota berkenaan tidak secara langsung bermaksud menembak Khashoggi, tetapi mereka percaya ia menunjukkan hasrat membunuh wartawan berkenaan jika beliau tidak pulang ke Arab Saudi.

Riyadh yang sebelum ini membuat pelbagai kenyataan berhubung kehilangan Khashoggi, termasuk mendakwa wartawan terbabit telah meninggalkan bangunan konsulat pada 2 Oktober tahun lalu.

Arab Saudi kemudian menafikan wartawan itu dibunuh di dalam pejabat konsulat sebaliknya mendakwa Khashoggi terbunuh dalam pergaduhan.

Bagaimanapun, berikutan tekanan dan bukti dikemukakan pihak berkuasa Turki, Riyadh kemudian mengaku Khashoggi dibunuh di dalam bangunan itu. Arab Saudi turut menahan 15 individu yang disyaki terbabit dalam pembunuhan itu, selain memecat seorang jeneral.

Beberapa agensi perisikan AS juga percaya putera mahkota itu mengeluarkan arahan membunuh Khashoggi, tetapi Arab Saudi mendakwa MBS tidak terbabit.

Berita diterbitkan NYT itu dibuat sejurus siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengemukakan bukti bahawa Khashoggi menjadi mangsa ‘pembunuhan yang dirancang oleh pegawai Arab Saudi’.

Setakat ini, CIA dan Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) tidak memberi ulasan mengenai berita NYT itu.

Pembantu MBS, Aldakhil dalam kenyataan kepada NYT bagaimanapun menafikannya dan menyifatkan berita itu sebagai palsu.

NYT berkata, sehari selepas bercakap dengan Aldakhil, Putera Mohammed mengadu pula kepada seorang lagi pembantunya, Saud al-Qahtani, bahawa Khashoggi semakin berpengaruh.

MBS memberitahu Qahtani bahawa artikel dan twit oleh Khashoggi menjejaskan imejnya, lapor NYT.

Bagaimanapun, apabila Qahtani berkata sebarang tindakan terhadap Khashoggi akan memberi risiko, Putera Mohammed membalasnya dengan berkata, Arab Saudi tidak perlu mengambil peduli apa reaksi antarabangsa, lapor NYT.

Qahtani adalah penasihat kanan MBS yang dipecat selepas pembunuhan Khashoggi. Dia didakwa menyelia anggota pasukan pembunuh wartawan itu di Istanbul melalui Skype. – NYT

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close