Berita UtamaUtama

PRK Semenyih: Berjasa sedia bantu calon muslim wibawa

Tidak bersekongkol dengan parti anti-Islam syarat kerjasama parti 'Melayu Sepakat Islam Berdaulat'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 3 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) bersedia membantu calon muslim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih 2 Mac ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan mengingatkan, calon muslim berkenaan mestilah seorang yang adil, berintegriti dan tidak bersekongkol dengan parti yang anti kepada kemajuan Islam selaras dengan slogan parti itu iaitu ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Abd Aziz berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Berjasa mula menampilkan calon Melayu untuk memberi pilihan kepada pengundi meletakkan calon di mana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat ketika itu diwakili bukan muslim.

“Dalam PRU14 pula, ketika PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan membentuk Gagasan Sejahtera (GS), Berjasa lebih memberi penghormatan kepada calon PAS untuk bertanding malah Berjasa turut membantu calon dalam rakan GS.

“Selain itu, seruan Berjasa untuk kesepakatan Melayu juga semakin disambut baik,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bakhtiar Mohd Nor yang juga anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggal dunia.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada 11 Januari lalu, DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih yang layak mengundi bagi PRK itu.

Pengundi Melayu menjadi majoriti dengan 67.71 peratus; Cina (16.69 peratus); India (13.73 peratus); dan lain-lain kaum (1.86 peratus).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close