Berita UtamaUtama

Presiden MCA hairan Kian Ming hanya berdiam diri isu Marzuki

Lantang persoal kelayakan akademik Menteri BN, Ahli Parlimen DAP perlu buat perkara sama terhadap Setiausaha Agung Bersatu

BANGI, 2 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Pertikaian isu kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya yang ketika ini hangat diperkatakan turut menarik perhatian Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, dirinya ialah graduan University of Cambridge yang bertempat di England.

Beliau mengisytiharkan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Cambridge, England, yang diambil secara jarak jauh.

Bagaimanapun semalam, Marzuki mengakui bahawa beliau bukan graduan lepasan University of Cambridge, sebaliknya beliau memaklumkan hanya mempunyai Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Cambridge International University di Amerika Syarikat.

“Saya fikir mereka (pengkritik saya) salah faham (kelayakan saya). Saya (belajar) di Cambridge International University di AS. Saya membuat logistik (sebelum menyertai politik), jadi saya hanya mengambil sijil untuk pengetahuan saya untuk mengembangkan perniagaan saya.

“Sebagai CEO syarikat, saya ingin memperluaskan pengetahuan dan perniagaan saya,” katanya.

Malah, Marzuki sekali lagi menegaskan beliau akan memberikan semua bukti kelayakan akademiknya kepada polis sebaik sahaja dipanggil untuk disoal siasat.

Mempersoalkan tindakan Marzuki itu, Ka Siong berkata, beliau hairan mengapa Timbalan Menteri Luar itu mahu serahkan perkara ini kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Apakah wujud elemen jenayah atau penipuan yang berlaku di sini? Umum mengetahui bahawa pelantikan Menteri atau Timbalan Menteri adalah kuasa mutlak Perdana Menteri. Seseorang yang tidak pernah memasuki universiti pun layak dilantik Dr Mahathir selagi beliau ingin berbuat demikian.

“Maka, soal Marzuki menipu PM barangkali tidak mempunyai asas yang kukuh. Jika Marzuki tidak pernah mengikuti pengajian di University of Cambridge, ia terpulang kepada pihak universiti berkenaan sama ada ingin membuat laporan polis mengenai gejala penggunaan ijazah palsu di Malaysia.

“Jika tidak, pelantikan Marzuki sebagai Timbalan Menteri Luar tidak boleh digunakan sebagai justifikasi kononnya Marzuki ‘menipu’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ka Siong turut hairan apabila seorang Ahli Parlimen parti tamak haloba DAP yang sangat lantang mempersoalkan kelayakan akademik Ahli Parlimen BN ketika menjadi pembangkang, bertindak mendiamkan diri berhubung isu ini.

Katanya, Dr Ong Kian Ming yang kini menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sering mendedahkan serta mendakwa Menteri dan Ahli Parlimen BN yang dikatakan memiliki ijazah palsu, malah beliau akan menunjukkan asas pertikaiannya sekali gus meragui kredibiliti mereka.

“Kenapa Dr Ong yang juga seorang graduan University of Cambridge tidak tampil ke hadapan untuk bantu membersihkan nama baik Marzuki serta mempamerkan ijazah tulen dari University of Cambridge jika Marzuki betul-betul difitnah?

“Sebaliknya, jika Marzuki bersikap tidak jujur dan tidak dapat mengemukakan ijazah tulen dari University of Cambridge, maka sebagai alumini universiti itu, Dr Ong sepatutnya membongkarkan ‘scam’ ini demi menegakkan keadilan seperti yang pernah dilakukan oleh beliau sebelum ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close