Berita Utama

Kesaksamaan agihan vaksin halangan utama tangani COVID-19

Tiba masa vaksin diletakkan sebagai ‘barangan keperluan awam dunia’

KUALA LUMPUR, 27 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Halangan terbesar bagi menamatkan pandemik COVID-19 adalah isu agihan vaksin secara saksama serta masalah maklumat salah, kata Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hakikatnya sewaktu pandemik ini tiada siapa yang boleh mengetepikan kepentingan vaksinasi dan Hishammuddin pada mesyuarat pertama Forum Antarabangsa Kerjasama Vaksin, membentangkan tiga perkara asas yang perlu ditangani.

Teks ucapan beliau pada forum anjuran Kementerian Luar China secara maya itu diedarkan kepada media oleh Wisma Putra.

Katanya perkara pertama adalah meningkatkan pengeluaran vaksin global dengan kaedah melupuskan hak harta intelek terhadap vaksin COVID-19 berasaskan prinsip setiap negara perlu mempunyai hak untuk mengeluarkan vaksin sendiri ketika pandemik.

Kedua adalah menyeragamkan sijil vaksin, terutama vaksin yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bagi mempercepat kelulusan untuk kegunaan agensi kawalan.

“Ia akan dapat membantu mempermudahkan perjalanan, pelancongan serta pemulihan ekonomi pada masa depan tanpa perlu berdepan dengan masalah pengiktirafan vaksin tertentu,” katanya.

Perkara ketiga katanya adalah mengatasi masalah kecelaruan maklumat serta golongan yang enggan menerima vaksin akibat penyebaran terlalu pantas maklumat mengelirukan di samping berita palsu.

Dengan kemunculan varian baharu seperti Delta, Delta Plus dan Lambda yang menular di seluruh dunia, Hishammuddin berkata, perlumbaan ketika ini adalah untuk memberikan vaksin kepada seberapa ramai yang boleh secepat mungkin, dengan syarat masalah pokok iaitu akses terhadap vaksin perlu diatasi.

“Meskipun Malaysia agak bernasib baik berhubung perkara itu, tetapi kita perlu mengakui bukan semua negara mempunyai akses terdapat vaksin. Ketidakseimbangan dalam bekalan vaksin dan pengedaran di seluruh dunia, perlu ditangani segera.

“Sudah tiba masanya kita benar-benar meletakkan vaksin ini sebagai ‘barangan keperluan awam dunia’,” katanya.

Atas sebab itu forum ini dianjurkan tepat pada masa serta kena pada tempatnya dan Hishammuddin menegaskan pertaruhan terbaik ketika ini adalah memastikan langkah kerjasama sejati di peringkat antarabangsa.

“Malaysia akan menyokong penuh Deklarasi Bersama yang bakal dikeluarkan forum ini,” katanya.

Forum itu dipengerusikan Penasihat Negara dan Menteri Luar China, Wang Yi, dan satu kenyataan bersama akan dikeluarkan bagi mempamerkan kesatuan serta komitmen teguh negara-negara peserta dalam memerangi pandemik COVID-19 melalui kerjasama vaksin antarabangsa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button