Berita UtamaIstimewaUtama

DAP tunjuk permusuhan terhadap Islam: Hadi Awang

Haram lantik pemimpin kerajaan berwala kepada negara asing yang memusuhi Islam dan umatnya

BANGI, 1 Jamadilakhir 1440H, Rabu – PAS membatalkan tahaluf dan taawun dengan DAP serta pihak lain apabila mereka menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepemimpinan Islam, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, tindakan sama diambil terhadap pemimpin dan ahli yang meninggalkan PAS kerana meletakkan perjuangan di atas konsep yang salah dan sesat dan tidak beristiqamah bersama Islam.

Beliau berkata, mereka melarikan diri daripada perjuangan Islam dan menunjukkan sikap wala’nya kepada pihak yang nyata memusuhi Islam dan umatnya, sehingga segala matlamat menghalalkan pelbagai caranya, semata-mata mahu cepat mendapat kuasa dan kedudukan.

“PAS membatalkan hubungan dengan pihak yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam dan mencabar kepimpinan Islam seperti DAP dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, Islam menerima hakikat hubungan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dan madani, bersempadankan akidah dan syariat yang memelihara hubungan kemanusiaan, bersikap positif terhadap semua kebaikan dan kebijaksanaan semua pihak.

Abdul Hadi berkata, Islam adalah penyelesaian yang wajib ditegaskan menjadi akidah perjuangan berkonsepkan rabbani dan berwawasan dunia akhirat.

“Umat Islam wajib istiqamah (konsisten) menegakkan Islam yang sempurna tanpa paksaan terhadap pihak yang lain. Wala’ (Islam memimpin dan bersatu di bawahnya) hanya kepada Islam sahaja, dan haram berwala’ kepada bukan Islam.

“Namun diizinkan bertahaluf dan bertaawun dengan bukan Islam dalam titik persamaan yang tidak terkeluar daripada kewajipan menegakkan Islam sehingga berdaulat, bertujuan menyampaikan Islam kepada semua pihak dengan pelaksanaannya yang menyeluruh,” katanya.

Memetik firman Allah dalam ayat 1 surah Al-Mumtahana, beliau menegaskan PAS membuat keputusan mengikut kajian Majlis Syura Ulama’ dan pelaksanaannya oleh kepimpinan pusat berpandukan al-Quran dan Sunnah, mendahulukan pendekatan bersama kumpulan Islam di pelbagai lapangan, politik dan lain-lain serta mengadakan tahaluf dan taawun dengan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan umatnya.

“Nas-nas al-Quran, Hadis dan Ijma ulama menegaskan bahawa hubungan tahaluf dan taawun bergantung kepada ijtihad yang boleh berubah hukum harus dan haramnya berdasarkan kepada situasi yang berubah dan sikap terhadap syarat-syaratnya yang dipatuhi atau tidak.

“Adapun haramnya berwala’ kepada bukan Islam, adalah nas yang nyata yang tidak diizinkan berijtihad.

“Maka lebih haram dan besar akibatnya melantik kepimpinan kerajaan yang berwala’ kepada negara asing yang sangat bermusuh terhadap Islam dan penganutnya, serta mendukung falsafah politik pragmatik yang menenggelamkan Islam atau melemahkan kedudukannya,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close