Dr Ridhuan Tee AbdullahKolumnis

‘Naik menyampah dengan syarikat penerbangan negara’

Malaysia jadi lebih barat dari Barat sehingga kelihatan 'keparat'

TERLEBIH barat daripada barat atas nama bersifat ‘antarabangsa’, maka kita pun korbankan identiti dan jati diri negara.

Isu Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menerusi majalah ‘Going Places’ mempromosikan makanan tidak halal seperti hidangan stik babi, bukan isu baharu, tetapi sudah sekian lama. Kalau tidak percaya, bacalah majalah ini setiap bulan. Cuma, kita sahaja tidak perasan.

Tidak menghairankan, kerana editor dan penulis mereka majoriti bukan Islam. Bukan MAS sahaja, semua syarikat penerbangan Malaysia, termasuk Fire Fly, Air Asia dan lain-lain. Kadangkala langsung tidak ada rencana dalam bahasa Melayu. Kalau ada pun sekadar melepas batuk ditangga.

Alasannya syarikat penerbangan ini dan juga yang lain jika ditanya, sama sahaja, kerana bersifat antarabangsa, maka tidak salah mempromosikannya, meskipun yang haram. Atas nama antarabangsa, yang haram jadi halal, yang halal jadi haram, maka lenyaplah identiti dan jati diri negara.

Jika begitulah keadaannya kenapa kedai makan Islam yang dibuka di negara bukan Islam tidak mempromosikan babi, arak dan makanan tidak halal yang lain? Adakah ia tidak menepati ciri-ciri antarabangsa? Banyak kedai makanan di luar negara sana yang dipunyai oleh orang Islam yang mempromosikan makanan halal.

Apa yang penting ialah kualiti makanan dan kebersihannya, bukan soal ada babi atau tidak, ada arak atau tidak. Majoriti manusia tidak minum arak, berbanding yang minum. Jika tidak, mana mungkin semua krew tidak dibenarkan minum arak dalam pesawat.

Mengantarabangsakan sesuatu tidak ada kaitan dengan perkara haram seperti arak, babi, judi dan sebagainya. Begitu juga kelihatan seksi dalam kalangan krew pesawat. Mana mungkin berpakaian seperti pelacur itu dijadikan tanda aras penjenamaan antarabangsa dalam pesawat.

Mungkin salah faham inilah yang menyebabkan paramugari kita semua tidak dibenarkan menutup aurat. Kita dihinakan dengan pakaian paramugari begitu seksi sehingga menampak yang tersirat dan tersurat serta urat-urat.

Negara bukan Islam seperti Singapura pun pakaian paramugarinya agak bersopan. Negara ini turut mengharamkan arak untuk dijual pada waktu malam. Bukan macam kita, 24 jam buka kedai arak, sehinggakan ada yang terjunam di Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini. Semua gara-gara benda haram ini. Singapura boleh haramkan arak dijual pada waktu malam, kita tidak boleh? Siapa yang lebih Islam?

Tindakan Singapura tidak pula dilabelkan Taliban. Begitu juga, Bernie Charles Ecclestone, orang kuat Formula One, turut mengharamkan perempuan seksi berada di litar lumba. Di Amerika Syarikat, pusat judi tidak dibenarkan beroperasi, kecuali di Las Vegas sahaja. Kenapa tidak dituduh Taliban?

Namun, apabila ada dalam kalangan kita yang mencadangkan agar arak dikawal penjualannya, begitu juga dengan babi, maka melompatlah ultra kiasu ibarat cacing kepanasan. Kita dilabelkan dengan macam-macam. Mereka yang menari dan berjoget dalam majlis makan malam pengamal undang-undang tidak pula dilabelkan, malah dipuji, bagus.

Saya tidak pastikan ada atau tidak, pemantauan dibuat ke atas majalah MAS, going places ini, juga majalah penerbangan lain. Nama-nama majalah mereka pun sudah meloyakan untuk dibaca dan didengar. Going places? 3 Sixty? Fire Fly? Apa sudah ketandusan ke bahasa jati diri negara? Tidak bersifat antarabangsa?

Salahkah kalau letak nama-nama yang berjati diri seperti nama ‘salam’, ‘melati’, ‘kemboja’ atau apa-apa nama yang ada kaitan dengan jati diri Malaysia. Misalnya, majalah syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways, bernama Sawasdee. Sangat beridentiti dan berjati diri. Tidak kurang yang membacanya. Saya tidak pasti berapa kerat yang membaca going places, fire fly dan 3 sixty.

Majalah Sawasdee sentiasa mempromosikan imej berkaitan jati diri dan identiti orang Siam. Raja Siam, agama orang Siam Buddha, gajah Siam dan lain-lain berkaitan dengan Siam. Thai tetap maju dengan identiti Siam.

Bahasa Thai tetap diangkat dalam majalah penerbangan mereka. Ini tidak termasuk cara mereka menghormati kita melalui ucapan sawasdee ketika menaiki pesawat.

Bukan macam kita, ucapan tempatan seperti salam, entah ke mana, yang kedengaran adalah good morning, good afternon, dan macam-macam ucapan yang meloyakan. Kita langsung tidak belajar daripada Thailand. Apakah mungkin Thailand lebih mundur daripada kita? Tidak juga.

Nama-nama majalah penerbangan kita memang hebat, going places, firefly dan 3 sixty. Hanya ada satu sahaja kolum untuk bahasa Melayu. Ada yang langsung tiada. Semua dalam Bahasa Inggeris. Kita sudah menjadi lebih barat daripada barat sehingga kelihatan keparat?

Lihat orang Cina, tidak langsung segan meletakkan nama-nama yang begitu kecinaan seperti nama NGO mereka, Dong Zong, Jiao Zong dan macam-macam nama lagi. Dengan nama-nama inilah mereka mendapatkan pengiktirafan sijil EUC dan kolej Universiti New Era di persada antarabangsa. Sehinggakan kerajaan mungkin terpaksa mengiktiraf. Kenapa kita begitu takut dan pengecut?

Kenapa majalah kita terlalu orang putih atau terlalu kebaratan. Hina sangatkah ditonjolkan identiti negara atau bahasa negara.

Saya hairan kenapa mesti semuanya berbahasa Inggeris. Kenapa tidak sediakan terjemahan. Paling kurang ada dwi bahasa. Ada terjemahan dalam bahasa negara seperti yang dilakukan oleh negara lain yang mempunyai jati diri.

Oh, saya lupa, rupanya editor majalah MAS ini terdiri daripada Sue Loke, sebagai business director, Julie Goh, Editor, Eris Choo, Deputy Editor, Euric Liew, Art Director, Noel Foo, writer. Boleh dikatakan wajah-wajah Melayu dalam krew penerbitan majalah ini langsung tiada. Kalau adapun, adalah satu dua orang.

Maka tidak mustahil, majalah ini langsung tidak ada identiti dan jati diri Malaysia. Kasihan sungguh Malaysia, hanya kerana mahukan majalah ini diterima di peringkat antarabangsa, kita korbankan semua jati diri negara. Wajarkah?

Apakah pelancung ke Malaysia, mahu belajar bahasa Inggeris atau bahasa Melayu? Saya fikir, mereka mahu melihat ada budaya dan jati diri kita. Kenapa kita terlalu terlebih perasan?

Pada 18 Jun 2017, saya ada menghantar emel kepada editor majalah fire fly, saya pernah menegur majalah penerbangan Firefly, dahulu namanya kunang, tetapi tidak bersifat antarabangsa ditukar kepada Firefly.

Dalam emel tersebut saya mengatakan rasa tidak puas hati mengenai artikel hari raya puasa yang ditulis oleh penulis bukan Islam Fire Fly, Darren Timothy bertajuk menanti lebaran. Ilmunya mengenai hari raya begitu cetek. Hari raya digambar sebagai satu perayaan pesta seperti bangsa lain.

Tidak salah jika mahu menulis meskipun bukan Islam. Tetapi perlu fahami roh dan semangat hari raya dalam Islam. Hari raya bukan sekadar untuk berpesta, bermain bunga api dan mercun. Hari raya adalah perayaan ibadat. Tidak ada kaitan dengan mercun dan bunga api.

Justeru saya tidak hairan jika puak-puak ini mempromosi makanan haram dalam majalah penerbangan mereka.

Sama juga dengan penerbangan murah seperti Air Asia, saya telah beberapa kali menegur, kenapa pakaian paramugarinya sangat menjolok mata? Saya sudah membuat perbandingan dengan syarikat penerbangan antarabangsa yang lain di dunia, tidak ada yang seseksi Air Asia. Tak usahlah dibincangkan majalah Air Asia, bertajuk 3 Sixty. Buat sakit hati sahaja. Boleh dikatakan jati diri negara hancur.

Peliknya, apabila terbang ke Acheh, menjadi Islamik pula mereka. Duit punya pasal, sanggup bertukar rupa. Yang haram jadi halal, yang halal jadi haram. Akhirnya dua-dua ada jadi halam.

Justeru, sudah sampai masa JAKIM dan DBP hendaklah diberikan peranan untuk mengeditkan majalah ini bagi memastikan identiti dan jati diri negara terpelihara sama ada dalam BM atau BI.

Ianya perlu bermula dengan memberikan nama-nama yang bercorak tempatan kepada nama-nama majalah tersebut, sudah tentu bukan namanya going places, 3 sixty atau firefly. Tetapi diberikan nama tempatan seperti panorama, 3 enam puluh dan kunang. Bukankah sedap bunyinya. Saya fikir orang putih pun akan teruja sebab akan bertambah nahu dan perkataan bahasa Melayu mereka.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close