Artikel

Kod pemakaian muslim memperkasa undang-undang antidiskriminasi

Menjadi kewajiban umat Islam pakai pakaian mengikut syarak

ADALAH menjadi kewajipan bagi lelaki dan wanita Islam untuk mematuhi peraturan Allah dengan memakai pakaian yang sesuai dan sederhana menurut al-Quran dan hadis Rasulullah ﷺ.

Seseorang mungkin tertanya mengapa umat Islam tertakluk kepada kod pemakaian tertentu. Jawapannya ada di dalam ayat 26 Surah Al A’raf di mana Allah swt berkata, “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian yang menutupi malu dan memberi perlindungan dan sebagai perhiasan. Tetapi pakaian yang terbaik adalah pakaian ketakwaan. Itulah salah satu tanda-tanda Allah supaya mereka dapat mengambil pelajaran. “

Pakaian taqwa di sini bermaksud umat Islam akan diganjari pahala sekiranya mereka mematuhi peraturan Allah yang melarang mereka untuk mendedahkan mana-mana bahagian badan, kecuali apa yang ditetapkan boleh. [Al-Quran 24:31]

Malangnya, kod pemakaian muslim yang dicadangkan Kementerian Sumber Manusia ini dianggap sebagai satu bentuk ‘diskriminasi’ kepada wanita Islam selepas Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) memberi amaran bahawa ia boleh meningkatkan ‘akibat yang tidak diingini’ bagi mereka yang mungkin memilih untuk tidak mematuhi garis panduan berkenaan.

Sebagai respon balas kepada kenyataan JAG, kod pemakaian yang dicadangkan untuk pekerja Islam adalah wajar dalam menangani isu diskriminasi di tempat kerja. Hal ini berikutan terdapat polisi larangan berhijab bagi staf perhotelan seperti yang telah dilaporkan Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) awal tahun lepas. Peraturan ini akan menetapkan dasar yang lebih baik bagi kedua-dua majikan dan pekerja swasta bagi membenarkan hak wanita Islam untuk berhijab .

Dengan peningkatan trend Islamofobia di seluruh dunia, seseorang harus mempertimbangkan langkah yang efektif bagi melindungi hak wanita Islam untuk menutup aurat dan pada masa yang sama dapat dilihat kompeten seperti mana rakan sekerja mereka yang bukan Islam. Di sini, kerajaan telah mengambil langkah pendekatan yang tepat dalam mempertimbangkan keperluan wanita Islam di Malaysia.

Tiada siapa yang harus berasa curiga atau takut dengan kod pemakaian ini kerana kerajaan tidak berniat untuk mewajibkan kod berkenaan dan jika seseorang majikan memaksa pekerja untuk memakai pakaian yang bertentangan dengan kepercayaan agama mereka, aduan boleh dibawa ke Jabatan Buruh untuk semakan.

Jelas kod pemakaian muslim dapat memperkasa undang-undang anti diskriminasi Malaysia kerana ia menyediakan garis panduan berguna buat majikan dan pekerja di industri swasta. Terdapat satu kelompongan dalam undang-undang tempatan kita untuk menghukum pihak swasta sekiranya terdapat diskriminasi terhadap pekerja mereka.

Namun, industri pekerjaan swasta kini akan tertakluk kepada dasar kerajaan yang lebih standard dan ini membolehkan mereka beralih dari polisi pekerjaan antarabangsa yang tidak sesuai untuk diaplikasikan di negara kita.

Dengan undang-undang antidiskriminasi semasa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pekerja 1955 dan Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kod pemakaian muslim yang dicadangkan kerajaan ini dilihat sempurna sebagai peraturan tambahan kepada majikan dalam sektor swasta agar komitmen wanita Islam terhadap agama mereka terus terpelihara.

Nur Farihah Meor Mazli
Exco Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close