Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Pengundi Parlimen Cameron Highlands mencalar kredibiliti PH

PRK DUN Semenyih bakal menyaksikan apakah kerjasama UMNO-PAS benar-benar memperoleh kepercayaan bangsa Melayu dan umat Islam untuk satu gabungan yang diharapkan

KEMENANGAN Ramli Mohd Nor dengan majoriti 3,238 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands – PRK pertama dimenangi Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lalu – adalah tamparan buat kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ramli – orang asli pertama yang menjadi Ahli Parlimen – memperoleh 12,038 undi, mengetepikan pencabar terdekat daripada PH-DAP, M Manogaran yang mendapat 8,800 undi. Dua lagi pencabar adalah calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Parlimen Cameron Highlands mempunyai 32,008 pengundi berdaftar, di mana 34.4 peratus adalah pengundi Melayu, 29.8 peratus (Cina), dan 14.8 peratus (India) dan lain-lain kaum 20.9 peratus.

PRK kawasan itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh (BN-MIC) pada PRU14, terbatal dan tidak sah, apabila berlaku amalan rasuah bagi mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Perlu diingat bahawa majoriti 3,238 undi yang diperoleh Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baharu itu adalah yang tertinggi sejak PRU 2008; 2013; dan 2018.

Dikatakan menjadi penyuntik semangat kepada kebangkitan semula BN dalam politik tanah air, PRK itu juga adalah petunjuk utama ke arah usahasama yang lebih mantap dua parti pembangkang terbesar tanah air, PAS dan UMNO, khususnya dalam berdepan satu lagi PRK – Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac depan.

Sementara PAS mengumumkan tidak bertanding pada PRK DUN Semenyih, BN bakal meletakkan calon daripada UMNO bagi memberi cabaran kepada gabungan PH yang pastinya berusaha mengekalkan kerusi dimenangi menerusi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.

Bakhtiar meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung. Pada PRU14, 9 Mei tahun lalu, Allahyarham menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Johan Abdul Aziz (BN-UMNO), serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS), dan S Arutchelvan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Seperti kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sokongan tidak berbelah-bahagi dan kerja kuat pimpinan serta jentera PAS memujuk lebih 2,000 ahli tegar mereka, terutama di Peti Undi Kampung Keledek (BN tidak pernah menang peti undi ini), Peti Undi Bukit Kota dan Sungai Koyan 3, menyumbang kepada kemenangan Ramli.

Katanya, kemenangan itu juga hasil kerjasama kukuh dan gerak kerja sepadu semua jentera BN termasuk sayap-sayap yang berkampung lebih dua minggu di semua kawasan peti undi seluruh Parlimen itu.

“Buat pertama kali Wanita UMNO dan Muslimah PAS bergandingan bersama bergerak naik turun rumah ke rumah pengundi, terutama di kawasan DUN Jelai.

“Rakyat khususnya peneroka Felda amat merasai kesan kos sara hidup yang meningkat dengan kejatuhan harga komoditi sawit dan getah. Mereka tidak nampak kerajaan PH melakukan tindakan yang berkesan untuk menggerakkan pelan bagi tujuan menaikkan semula harga komoditi.

“Rakyat masih merasai tertipu dengan segala janji-janji kosong kerajaan PH yang masih tidak mengotakan segala apa yang dijanjikan dalam manifesto PRU14 lalu,” katanya mengulas kemenangan Ramli.

PRK Parlimen Cameron Highlands adalah PRK kelima selepas PRU14 dengan PRK sebelum ini membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis; Seri Setia dan Balakong di Selangor serta Parlimen Port Dickson, di Negeri Sembilan, yang semuanya dimenangi calon PH.

Namun, apa yang pasti, PRK DUN Semenyih, 2 Mac nanti, menjadi kayu pengukur dalam banyak perkara. Tetapi yang utama ialah:

  1. Kepercayaan rakyat, terutama bangsa Melayu dan umat Islam, terhadap kerajaan PH yang mula mentadbir negara sejak 10 Mei tahun lalu;
  2. Ujian terhadap penerusan kerjasama UMNO dan PAS; dan
  3. Pertandingan satu lawan satu antara calon mewakili pembangkang dan kerajaan.

Dengan perkembangan terkini, terutama keadaan kos sara hidup rakyat, harga barangan, termasuk kenaikan harga minyak petrol dan diesel, ia akan menjadi beban kepada PH untuk mengekalkan kerusi DUN Semenyih.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada 11 Januari lalu, DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih yang layak mengundi bagi PRK itu.

Perlu diingat pengundi Melayu menjadi majoriti dengan 67.71 peratus; Cina (16.69 peratus); India (13.73 peratus); dan lain-lain kaum (1.86 peratus).

Justeru, Pedang berpendapat, tuduhan Manogaran bahawa BN menang di Cameron Highlands kerana memainkan isu kaum dan agama adalah benar sebenar-benarnya. Banyak isu yang melingkari masyarakat Melayu dan umat Islam sejak PH memerintah negara, timbul sejak kebelakangan ini, .

Bangsa Melayu dan umat Islam melihat kedudukan mereka semakin terancam, terutama membabitkan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ditambah dengan beberapa kenyataan pemimpin parti tamak haloba DAP terhadap Islam, dan kegagalan pemimpin Melayu dalam kerajaan PH menjaga kepentingan Islam, menyumbang ke arah kegagalan mereka merampas kerusi Cameron Highlands.

Pedang setuju dengan kata Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya, bahawa kes Datuk Seri Najib Razak sudah tidak relevan untuk dijaja kerana bekas perdana menteri itu kini sudah tidak ada dalam kerajaan.

Isu penyalahgunaan dana dan kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini tidak banyak menyumbang kepada PH kerana tindakan terhadap mereka yang terbabit sudah diambil.

Ketika PH semakin melupakan janji-janji manifestonya, penyusunan semula jentera UMNO pada peringkat pusat menunjukkan tanda-tanda parti itu bersedia melakukan perubahan demi survival Melayu dan Islam.

Isu-isu yang dianggap kecil oleh PH, seperti desakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) liberal yang menjadi sekutu mereka, terutama Sister In Islam, G25 dan Hindraf, menambah luka bangsa Melayu dan Islam.

Insiden kuil Hindu yang mengorbankan seorang anggota bomba dan kes itu dilihat belum berkesudahan, serta ‘lambang Kristian gergasi’ di Pulau Pinang, juga memainkan peranan mempengaruhi sentimen bangsa Melayu dan umat Islam.

Terbaharu, isu Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara ‘berdisko’ bersama menteri serta kumpulan peguam yang menjadi sekutu puak liberal dan PH, memperlihatkan betapa kerajaan membiarkan apa sahaja perbuatan yang melanggar ‘rule of law’ dan menjejaskan kewibawaan badan kehakiman serta kerajaan, tanpa diambil apa-apa tindakan.

Seperti kata Asyraf lagi, rakyat, khususnya Melayu dan Bumiputera, rata-rata mahu melihat kerjasama kukuh antara UMNO dan PAS sebagai isyarat ke arah penyatuan ummah dan kestabilan negara keseluruhannya.

Kata Pedang: Tidak mustahil gabungan PAS-UMNO dapat membentuk kerajaan perpaduan jika usaha keras seperti ditunjukkan kedua-dua parti ketika kempen PRK Cameron Highlands, diteruskan dan digandakan pada PRU15.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close