Berita UtamaUtama

‘Jangan serah kad pengenalan kepada pihak lain selain petugas SPR’

31,639 pengundi Cameron Highlands diminta tunai tanggungjawab Sabtu ini

BANGI, 18 Jamadilawal 1440H, Khamis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru 31,639 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands supaya menunaikan tanggungjawab mereka Sabtu ini.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pengundi dinasihatkan supaya merancang masa dan tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat-saat akhir walaupun tempoh waktu mengundi ditetapkan dari 8 pagi sehingga 5.30 petang berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“SPR juga meminta pengundi agar membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal sebelum hari pengundian. Pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih itu melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my; atau menghubungi 03-88927018; atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak.

“Bagi pengundi yang telah mengetahui maklumat berkenaan, mereka tidak perlu menyemaknya lagi di barung SPR, sebaliknya mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi disaran membawa catatan maklumat berkenaan serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. Catatan itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama dan membantu kelancaran proses pengundian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azhar menasihati pengundi supaya membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri yang rasmi serta sah yang memaparkan maklumat gambar, nama dan nombor kad pengenalan pada hari mengundi.

Beliau turut menasihati pengundi supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran; calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close