Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

Etika kehakiman: Sendiri buat rule of law, sendiri tak patuhi

Apabila guru kencing berdiri, murid pun apa lagi... kencing berlari

PEDANG bukan bercakap politik. Lagipun, Pedang bukan politikus yang ada kepentingan untuk mana-mana parti. Tetapi, isu ketua hakim negara dan peguam negara yang menari twist bersama sekumpulan peguam, baru-baru ini, adalah isu integriti dan etika kehakiman.

Seperti yang Pedang tulis sebelum ini, tiada siapa pun yang mempertikaikan tindakan peguam untuk berpesta. Tiada siapa pun mempertikaikannya dari sudut agama atau bangsa.

Jadi janganlah terikut-ikut dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin mengenai kes itu yang Pedang kata sebagai ‘hari malang bagi sistem kehakiman Malaysia’.

Hanipa dalam kenyataannya cuba mengalih tumpuan atau ‘twist’ isu tarian oleh ketua hakim negara dan peguam negara kepada tradisi amalan fraterniti perundangan Malaysia.

Timbalan menteri yang menjaga undang-undang di bawah menteri yang turut serta menari dalam majlis anjuran Sabah Law Society, Liew Vui Keong, itu hanya cakap mengenai tradisi peguam. Jelas di sini beliau tidak faham mengenai apa yang dibincangkan atau sengaja hendak ‘twist’ isu supaya masyarakat tidak melihat kepada isu sebenar.

“Program majlis makan malam dan tari menari yang ‘dipanaskan’ tak tentu fasal itu, hakikatnya adalah sebahagian daripada tradisi tersebut. Ya, saya akui ia mungkin kelihatan sedikit kebaratan dan dilihat oleh ‘pihak-pihak suci’ tidak ‘patuh syariah’.

“Tetapi, bagi saya, menyokong dan memberi ‘nyawa’ dan ‘oksigen’ suatu masa dahulu pada rejim kleptokratik juga bukanlah Islamik atau ‘patuh syariah’. Jadi… tolong berhenti berlakon!,” kata Hanipa dalam kenyataan Ahad lalu.

Barat ke, Timur ke, Utara ke, Selatan ke… tak ada siapa yang berlakon? Penjelasan yang YB beri kosong. Di luar tajuk. Your statement is nothing. Orang bercakap mengenai etika seorang hakim dan peguam negara, YB ‘twist’ kepada peguam dan ketidakpatuhan syariah.

Macam Pedang kata, tak ada siapa yang persoal apa peguam nak buat, tak ada siapa nak persoal majlis tari menari, tak ada siapa yang pertikai isu agama, syariah atau bangsa. Tetapi kes ini adalah isu etika kehakiman – tingkah laku hakim dan peguam negara yang mendatangkan persepsi buruk terhadap institusi tertinggi kehakiman negara. Kenapa lembab sangat.

Jika ketua hakim negara dan peguam negara berjoget atau berkaraoke atau bernasyid pada majlis anjuran mana-mana peguam sekalipun, ia tetap melanggar kod etika yang menyatakan:

Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.’ [Perihal 8 (2) Bahagian III (Tatakelakuan) Kod Etika Hakim 2009]

Dan, tak perlulah YB cuba ‘twist’ isu ini daripada kelakuan atau tingkah laku atau tatakelakuan hakim dan peguam negara, kepada isu lain. Rakyat Malaysia bukan bodoh. Rakyat Malaysia sudah semakin cerdik selepas PRU14.

Pedang pun belajar cara-cara nak alih tumpuan. Kenyataan YB itu salah satu cara mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap isu sebenar iaitu kelakuan hakim dan peguam negara yang tidak selari dengan Kod Etika Hakim 2009 yang dijenamakan semula oleh ketua hakim negara sendiri pada 11 Januari lalu.

Rakyat Malaysia juga tertanya-tanya kenapa Yang Arif Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum serta Peguam Negara, Tommy Thomas, masih membisu mengenai isu panas ini, serta kod etika yang menjadi panduan kepada hakim-hakim menjaga tingkah laku.

Perbuatan mereka juga memalukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mencadangkan pelantikan mereka. Tun begitu kuat sekarang ini mematuhi ‘rule of law’, tetapi ramai yang mempermainkannya, termasuk melanggar etika kehakiman.

Lepas ini, bolehlah hakim-hakim di seluruh negara main golf dengan peguam atau anggota Majlis Peguam, sebab ‘guru dah menunjuk ajar’, anak murid bolehlah ikut’. Tak ada lagi ‘morally wrong’ seperti kata Majlis Peguam dalam kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin yang bercuti dengan peguam VK Lingam di New Zealand pada 1994.

Nampaknya, tahun ini bukan ‘Keadilan Menuju Kehadapan’ seperti tema Pembukaan Tahun Perundangan 2019, sebaliknya tahun malang institusi kehakiman.

Kata Pedang: PM pun sudah kembali dari luar negara. Kita tunggu apa kata beliau dalam kes ini. Harap-harap PM pun tak ‘twist’ isu etika kehakiman, dan kekal dengan pendirian mempertahankan ‘rule of law’.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

p/s: Pedang pun sedang tunggu komen daripada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang sekarang ini aktif memberi ulasan. Beliau juga banyak menulis mengenai isu kehakiman, termasuk pelantikan Malanjum sebagai ketua hakim negara. Semuanya boleh dibaca dalam laman web beliau di http://www.tunabdulhamid.my

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close