Berita UtamaIstimewaKata PedangUtama

‘Let’s Twist Again’ dan Musang Berjanggut

Kritikan bukan kepada peguam-peguam tetapi ditujukan kepada Ketua Hakim Negara Malaysia dan Peguam Negara Malaysia

ADA yang pesan pada Pedang. Jangan kritik badan kehakiman, terutama hakim-hakim, apa lagi ketua hakim – bahaya. Tak boleh? Inikan Malaysia Baharu? Allahyarham P Ramlee dah lama kritik masa Malaysia lama. Cuba tonton filem ‘Musang Berjanggut‘.

Lagipun, Pedang ikut kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tulisan di blog beliau bertajuk ‘The Rule of Law’. Apa kata Tun?:

The Rule of Law applies to everyone from the Rulers to the Prime Minister and Ministers, to the civil servants and ordinary citizens.

There is no provision which exempts anyone from the Rule of Law. For the Rulers there is a special court but the laws are the same as the laws applicable to ordinary citizens. The Rulers too must respect the laws.

This being so, public complaints against such actions are legitimate and do not breach any law. They will not be considered as sedition in any way. They will be regarded as free speech. Citizens can make reports on these matters or openly speak about them.

Kalau Raja-Raja pun boleh dikritik, apa sangatlah badan kehakiman.

Teguran kepada Pedang dibuat selepas semalam Pedang ulas isu Ketua Hakim Negara Malaysia, dan Peguam Negara Malaysia terbabit berdansa dalam salah satu acara pada majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019: Keadilan Menuju Kehadapan di Kota Kinabalu, Sabah.

Tapi teguran Pedang berfakta. Pedang kaitkan perbuatan itu dengan Kod Etika Hakim. Sama ada mereka melakukan perbuatan itu atas kapasiti peribadi atau tidak, mereka tetap Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim Negara Malaysia dan Tommy Thomas, Peguam Negara Malaysia.

Apalagi jika kedua-duanya menaiki kereta rasmi berlambangkan ‘hakim’ atau ‘Ketua Hakim Negara’ dan ‘Peguam Negara’, ke majlis ‘peribadi’. Atau, pemergian kedua-duanya ke Sabah untuk menghadiri majlis ‘peribadi’ itu menggunakan wang kerajaan, walaupun seringgit.

Memang betul, seperti kata Sabah Law Society (SLS) majlis itu adalah ‘tertutup’ dan urusan peribadi masing-masing, tapi kini apabila video itu tular dan ditonton orang ramai yang tiada dalam majlis itu, mereka yang dikritik itu ‘seolah-oleh menari di depan khalayak’.

Kata Presiden SLS, Brenndon Soh lagi “ia akan menjadi hari yang sedih bagi komuniti perundangan negara jika ahli-ahlinya dilarang daripada menari pada majlis sosial tahunan seperti Pembukaan Makan Malam Gala Tahun Undang-Undang 2019 akibat daripada kritikan yang tidak berasas”.

SLS kena ingat, orang yang mengkritik majlis itu bukan tujukan kritikan mereka kepada peguam-peguam. Janganlah ‘twist’ isu ketua hakim negara dan peguam negara menari. Kedua-duanya bukan peguam biasa yang layak buat apa sahaja dan tidak terikat dengan Kod Etika Hakim.

Pedang pun bukan kritik peguam yang hadir dalam majlis itu. Kalau peguam nak menari… menarilah… nak buat apa pun buatlah… hatta nak terjun dari Gunung Kinabalu pun, suka hatilah. Yang dipersoalkan ialah tingkah laku ketua hakim negara dan peguam negara.

Ingatlah juga, pada September 2016 lalu Ismaweb turut melaporkan isu peguam negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menari bersama menteri Kabinet kerajaan Barisan Nasional di khalayak ketika sambutan Hari Kebangsaan. Video dan gambar perbuatan itu kemudian tular selepas peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memuatnaik dalam Facebooknya pada 2 September dan menggesa Apandi letak jawatan.

(p/s: Kali ini Haniff Khatri yang baru dilantik sebagai Pengerusi PERDA, pun tak setuju tindakan ketua hakim negara dan peguam negara. Cuma cakapnya berlapik dan tak ada gesaan letak jawatan. Kenapa ya? Tanya je!)

Memang tidak sepatutnya Apandi Ali melakukan perbuatan bodoh itu di khalayak. Perbuatannya dikritik banyak pihak, terutama peguam, apalagi kumpulan parti pembangkang, yang menyerangnya habis-habisan.

Semalam, tular klip video Richard Malanjum dan Tommy Thomas berdansa sakan dengan lagu Let’s Twist Again. Perbuatan itu pula dilakukan dengan menteri Kabinet.

Lebih membimbangkan ialah perbuatan menari twist itu dilakukan dengan anggota profesional perundangan – Perihal 8 (2) Bahagian III (Tatakelakuan) Kod Etika Hakim 2009: Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.

Tapi, puak-puak yang dulunya menyerang Apandi Ali, kali ini membela perbuatan ketua hakim negara dan peguam negara dengan macam-macam alasan – nak bagi orang percaya dengan alasan bodoh mereka, dan mereka cuba ‘twist’ isu itu dengan mengatakan ‘tak bolehkah peguam menari’.

‘Twist’ lagi isu. Mereka kata itu hal peribadi. Bangkitkan pula isu bekas ketua hakim yang lama-lama dulu. Pedang kata, kalau yang dulu melanggar ‘rule of law’, perbuatan sekarang pun tetap melanggar ‘rule of law’ – Kod Etika Hakim. Mentelaahlah KOD ETIKA HAKIM 2009 itu dulu masak-masak untuk mengetahui kedudukan ketua hakim negara dan peguam negara.

Namun, yang pastinya kritikan ditujukan kepada Malanjum dan Tommy – Ketua Hakim Negara Malaysia dan Peguam Negara Malaysia. Dua individu yang membawa nama institusi perundangan Malaysia.

Semalam pun Pedang masukkan kod etika berkenaan dalam tulisan Pedang. Kod yang terpakai bagi seseorang hakim sepanjang tempoh perkhidmatannya. Apa guna kod etika itu yang diletakkan dalam warta kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan, jika tidak dipatuhi?

Kod itu bertujuan menetapkan standard asas untuk mengawal tatakelakuan atau dalam bahasa lain, tingkah laku, semua hakim dan menjadi bimbingan kepada hakim dalam membentuk serta memelihara budi pekerti dan kelakuan kehakiman yang tinggi.

Secara tidak langsung, jika melanggar kod etika ini bermakna kelakuan hakim adalah rendah. Dan, apakah perbuatan Malanjum dan Tommy itu tidak melanggar kod etika itu atau tidak merendahkan institusi kehakiman Malaysia pada mata dunia? Anda fikir!

Jika kedua-duanya berasa mereka gagal memelihara budi pekerti dan kelakuan kehakiman yang tinggi sebagaimana arahan dalam kod etika itu, maka eloklah berundur. Jangan memalukan badan kehakiman negara pada mata dunia.

Lagipun, rakyat sendiri sudah boleh menilai – hakim menjatuhkan hukuman kepada pihak yang pada pendapat mereka melanggar peraturan, tapi tidak mengapa, tak salah jika mereka sendiri melanggar peraturan.

Dan, sekarang ini mereka cuba ‘twist’ isu ini. Kata mereka bekas peguam negara dulu pun menari. Pedang nak tanya, ketua hakim negara dulu menari?

Isu di sini ialah Ketua Hakim Negara Malaysia, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara Malaysia, Tommy Thomas – dua individu yang terikat dengan kod etika 2009 itu yang mana pada 17 Januari lalu ia dikenali sebagai JUDICIAL OFFICERS’ CODE OF ETHICS 2019.

Kata Pedang: Yang seronoknya kod etika 2019 itu, jika menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan pada 17 Januari lalu, dilancarkan sendiri oleh Malanjum ketika Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2019, 11 Januari lalu.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close