Berita UtamaUtama

Isu air: ‘3 sen untuk seribu gelen seperti beri percuma’

Isma gesa kerajaan ambil langkah serius selesai isu harga jualan air dengan Singapura

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah serius untuk mengadakan rundingan segera berhubung isu harga jualan air mentah kepada Singapura.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, cubaan kerajaan berunding berhubung isu itu sejak tahun 90-an, perlu segera diakhiri dengan keputusan yang menguntungkan negara.

Beliau berkata, harga semasa jualan air mentah pada kos 3 sen untuk seribu gelen ternyata tidak adil dan memerlukan semakan semula oleh kedua-dua pihak.

“Justeru, Isma menggesa kerajaan mengambil serius rundingan isu air ini, kerana ia jelas tidak adil dan memerlukan semakan semula.

“Harga RM0.03 untuk seribu gelen umpama negara memberi percuma kepada Singapura, sedangkan air adalah sumber negara yang berharga,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia mahukan penetapan harga baharu yang lebih adil bagi kos air mentah kepada Singapura.

Beliau berkata, Singapura telah menikmati keuntungan sejak bertahun lama dari hasil harga air yang terlalu rendah, malah menjual kembali air dirawat kepada negara pada nilai AS$60 untuk jumlah sama.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, keuntungan yang dinikmati Singapura sudah terlalu lama, dan sampai masanya ia diselesaikan secara adil.

“Isma sentiasa menyokong sebarang langkah kerajaan ke arah rundingan penyelesaian isu ini,” katanya.

Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada tahun 1927.

Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang akan berakhir pada tahun 2061, memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Pada 1990, Singapura, Malaysia dan kerajaan negeri Johor memeterai perjanjian baharu, membolehkan Singapura membina empangan di Sungai Linggiu (cabang Sungai Johor) bagi memproses sendiri air, dan menaikkan kapasiti pengeluaran air mereka.

Sebagai ganti Singapura membayar pampasan RM320 juta kepada Malaysia dan Kerajaan Johor, sebagai nilai tapak empangan didirikan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close