Berita UtamaDuniaUtama

30 rakyat Palestin cedera angkara Zionis

Serangan Israel turut sasar wartawan dan paramedik

GAZA, 13 Jamadilawal 1440H, Sabtu – Walaupun berhimpun secara aman, rejim pengganas Israel terus mengambil kesempatan menyerang ribuan rakyat Palestin yang mengadakan protes mingguan berhampiran pagar sempadan Israel-Gaza, semalam.

Terkini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 30 rakyat Palestin cedera akibat serangan peluru hidup Israel di wilayah itu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, kebanyakan penunjuk perasaan – yang berhimpun secara aman – cedera akibat ditembak rejim Israel, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian itu memaklumkan, serangan Israel turut menyebabkan dua wartawan dan tiga paramedik cedera.

Sejak 30 Mac lalu, ribuan rakyat Palestin mengambil bahagian dalam protes yang diadakan setiap minggu, bagi menuntut pengepungan di Semenanjung Gaza berakhir dan kembali ke kampung halaman yang dirampas rejim Zionis.

Sehingga kini, lebih 200 rakyat Palestin terbunuh sewaktu mengambil bahagian dalam protes besar-besaran dan mingguan di wilayah itu, manakala lebih 21,000 yang lain cedera.

Organisasi kebajikan perubatan antarabangsa (MSF) berkata, lebih 1,000 penduduk Gaza yang ditembak Israel berisiko jangkitan, yang boleh membawa kepada kecacatan serta kematian.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close