Berita Utama

PKPP: Perpustakaan terap pelbagai inisiatif, ikut SOP

Perpustakaan diarah tutup pada 18 Mac, dibuka semula ketika PKPP

KUALA LUMPUR, 1 Zulhijjah 1441H, Rabu – Sebahagian besar perpustakaan awam di seluruh negara telah mula beroperasi kembali dengan pelbagai pendekatan dan inisiatif dalam normal baharu diperkenalkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bertujuan mengekang wabak COVID-19.

Setelah ditutup sejak 18 Mac berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perpustakaan awam mula dibuka dalam fasa pelaksanaan PKP Pemulihan yang menyaksikan kelonggaran dalam sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini dan perpustakaan di bawah kendaliannya iaitu lima Perpustakaan Komuniti dan 507 Perpustakaan Desa dibuka semula sejak 16 Jun, manakala perpustakaan awam di negeri-negeri dibuka secara berperingkat.

Perpustakaan awam di Pulau Pinang dibuka bermula 13 Mei, Johor dan Kedah pada 17 Mei, Sabah (22 Mei), Perlis dan Melaka (1 Jun), Sarawak (3 Jun), Terengganu (4 Jun), Perak (12 Jun) serta Selangor dan Pahang (15 Jun) manakala di Kelantan dan Negeri Sembilan sebahagian besar belum beroperasi sepenuhnya.

Selain melaksanakan SOP yang ditetapkan, terdapat beberapa pembaharuan diperkenalkan seperti bilangan pengunjung yang dihadkan dan kaedah baharu meminjam dan memulangkan buku seperti penggunaan medium dalam talian untuk tempahan buku dan perkhidmatan kiriman cepat bagi penghantaran dan pemulangan buku.

SOP pasca PKP COVID-19 untuk sektor perkhidmatan perpustakaan di Malaysia, antaranya menetapkan pengguna dan kakitangan harus merekod maklumat peribadi termasuk suhu badan pengguna, memakai pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua Pengarah PNM Maizan Ismail berkata sejak 16 hingga 30 Jun lepas, PNM menerima 4,024 pengunjung manakala statistik pinjaman dalam talian menerusi u-Pustaka di laman www.u-pustaka.gov.my pula mencecah 31,618.

“PNM mengalu-alukan orang ramai untuk mendapatkan 13.2 juta bahan bacaan digital menerusi portal u-Pustaka dan mengikuti pelbagai program atau aktiviti menarik dalam talian yang dianjurkan menerusi media sosial PNM,” katanya kepada Bernama.

PNM dibuka setiap hari Selasa hingga Sabtu dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan menyediakan kaunter penerangan dan pendaftaran keahlian, Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara, Perkhidmatan Pinjaman Dewasa, Penyerahan Bahan Akta (PPTN) dan Perkhidmatan kepada Penerbit (ISBN/ISSN/PDP) dan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu.

Buat masa ini, PNM masih menutup Perpustakaan Kanak-Kanak dan pinjaman koleksi kanak-kanak boleh dibuat di Aras 3, Wisma Sejarah, yang terletak berhampiran PNM. Segala urusan pinjaman dan pemulangan bahan ilmiah boleh dilakukan di Wisma Sejarah menggunakan mesin pemulangan buku atau berurusan secara terus dengan kakitangan bertugas.
PNM menetapkan empat garis panduan untuk pinjaman dan pemulangan iaitu terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa; hanya 20 minit masa diperuntukkan bagi setiap pengguna; pengguna hanya dibenarkan membuat urusan pinjam dan pulang (tiada sesi rujukan dan bacaan) dan kanak-kanak tidak dibenarkan masuk.

Secara amnya, semua perpustakaan awam di seluruh negara mengambil pendekatan berjaga-jaga bagi mencegah penularan wabak COVID-19, namun pada masa sama mengalu-alukan kehadiran pengunjung.

Kebanyakan perpustakaan di seluruh negara turut mengambil pendekatan untuk tidak mengenakan sebarang denda lewat pemulangan bahan ilmiah dan buku kepada peminjam berikutan mereka tidak dapat berbuat demikian berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas.

Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pula menyediakan perkhidmatan ‘BookFly2u’ bagi membolehkan pengguna meminjam buku hanya dengan menggunakan aplikasi WhatsApp atau telefon, bagi memudahkan orang ramai yang masih gusar untuk ke perpustakaan tetapi ingin meminjam buku.

Pengguna hanya perlu menghantar nama buku yang ingin dipinjam melalui aplikasi WhatsApp ke talian 010-8491448 atau menghubungi 03-55197667.

Perpustakaan Raja Tun Uda di Shah Alam menggunakan pengimbas kod respon pantas (QR) aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan turut mempraktikkan jarak sosial dengan hanya dua individu dibenarkan duduk di sebuah meja dan membenarkan penggunaan bilik seminar dan bilik perbincangan namun kapasitinya telah dikurangkan kepada 50 peratus.

Selain itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) memperkenalkan sistem baharu iaitu tempahan kehadiran secara dalam talian kepada orang ramai melalui www.trglib.gov.my/meet sebelum hadir ke perpustakaan bagi mengelakkan kesesakan di sekitar kawasan itu.

Pustaka Negeri Sarawak menyediakan satu aplikasi bagi pinjaman buku yang akan dihantar kepada setiap pengguna secara percuma.

Pelbagai program diatur secara dalam talian bagi memudahkan pengguna menggunakan perkhidmatan mereka, seperti aplikasi Angka.sa2 yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Apple Apps Store yang membolehkan setiap pengguna melayari pelbagai bahan-bahan bacaan digital secara dalam talian.

Bagi pinjaman buku, Pustaka Negeri Sarawak menyediakan perkhidmatan ‘bookbear’ yang turut terdapat dalam aplikasi Angka.sa2 itu, satu konsep yang membolehkan pengguna membuat pesanan melalui aplikasi itu dan pihaknya akan menghantarnya ke rumah pengguna. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button