Berita UtamaUtama

Melayu kena ingat PH cipta titik hitam terhadap monarki

Yang di-Pertuan Agong 'dipaksa' tandatangan surat pelantikan peguam negara

Oleh Fahmi bin Faiz

BANGI, 12 Jamadilawal 1440H, Jumaat – Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, digesa agar cakna dan tidak lupa akan titik hitam yang menyelimuti institusi monarki tanah air sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah, terutama dalam episod perlantikan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berkata, dalam perlantikan itu, bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menerima tekanan apabila pada awal nya baginda tidak bersetuju menandatangi surat perlantikan Peguam Negara.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa dalam isu perlantikan Peguam Negara, Tommy Thomas, Agong kecewa bila dia tidak mahu tandatangan surat perlantikan Tommy. Apa Dr Mahathir cakap dalam isu itu? Dia cakap ‘saya tidak akan beri nama lain selain daripada Tommy Thomas’,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Lokman berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menyerahkan beberapa nama sebagai calon Peguam Negara, namun hal sebaliknya yang berlaku.

Beliau berkata, apabila Sultan Muhammad V tidak bersetuju melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara, baginda menerima tekanan, hingga akhirnya terpaksa juga menandatangani surat pelantikan itu.

“Episod seterusnya menyaksikan baginda dijadikan modal untuk diserang pihak tertentu yang ada kaitan dengan kerajaan PH. Kemudian, selepas tandatangan, Hishamuddin Rais, aktivis yang pro-PH mengeluarkan satu catatan di blognya, yang amat memalukan air muka baginda.

“Lepas itu, dia juga tuduh baginda order bertan-tan dadah jenis syabu masuk istana. Saya terus buat laporan polis, dan kemudian dia (Hishamuddin) padamkan catatan di blog itu.

“Kalau padam pun, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kan ada, takkan jadi bodoh? Mereka boleh kesan dan tak boleh tipu. Kamu fitnah Yang di-Pertuan Agong dan padamkan, masih boleh jejak. Sakit hati tak Agong? Langsung tiada tindakan,” katanya.

Tulisan burukkan Yang di-Pertuan Agong

Mengulas lanjut, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A Kadir Jasin turut serta dalam kempen memburukkan Yang di-Pertuan Agong melalui tuduhan berat yang dilemparkan.

“Kadir ambil perbelanjaan Queen Elizabeth berjumlah 257 juta dalam tempoh 16 bulan, kemudian dia buat satu rencana. Dia (Kadir) kata ini perbelanjaan Agong. Kadir kata kita cari duit susah-susah, tiba-tiba Raja-Raja ni belanja duit sewenang-wenangnya.

“Saya buat laporan polis terhadap beliau, bila Kadir gelabah, dia letak jawatan Ketua Unit Media dan Komunikasi, Majlis Penasihat Kerajaan. Dia dah fitnah Agong, boleh letak jawatan begitu sahaja tanpa hukuman? Itu sebabnya Yang di-Pertuan Agong akhirnya buat keputusan, baginda balik Kelantan, tak mahu duduk Istana Negara,” katanya.

“Bila (Tommy Thomas) nak angkat sumpah, jam 1 pagi Datuk Seri Azmin Ali terpaksa pergi menghadap, pujuk baginda balik untuk menyaksikan angkat sumpah, baru baginda balik. Mereka kata nak ambil tindakan kepada Hishamuddin Rais, kepada Kadir Jasin, tapi langsung tiada,” katanya.

Justeru, Lokman berkata, rakyat perlu bangkit menolak pemerintahan yang disifatkan mengamalkan undang-undang hutan (law of the jungle) ini, dan menzahirkan penolakan itu melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

“Jangan beri undi kepada PH, kerana mereka biadab, amalkan ‘law of the jungle’. Bila kena kepada orang lain, mereka buka Akta Hasutan, tetapi bila babitkan batang hidung puak mereka, mereka gantung akta itu sesuka hati, dan ini boleh dilihat dalam kes Hishamuddin dan Kadir.

“Jangan percaya retorika licik mereka kononnya polis dah tahan tiga individu yang hina Agong tempoh hari. Mereka itu hanya ikan bilis, sedangkan jerung besar yang jahat masih bebas.

“Kalau undi Pakatan Harapan di PRK Cameron Highlands nanti, ketahuilah bahawa itu nescaya akan beri kesan lebih buruk kepada kedudukan Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja di tanah air ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close